KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.

Beliau yang juga felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, langkah itu perlu diberi perhatian memandangkan sesetengah pemimpin politik dilihat semakin mengeksploitasikan agama sebagai satu landasan untuk meraih simpati semata-mata demi kepentingan peribadi masing-masing.

“Memisahkan agama daripada politik mungkin dianggap negatif, tetapi kalau agama sering digunakan untuk tujuan politik yang menjurus kepada penyalahgunaan itu, ia lebih buruk.

“Bahaya menggunakan agama Islam sebagai senjata untuk politik, untuk menegakkan yang salah dan untuk kepentingan kuasa semata-mata," kata beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini, hari ini.

Dilihat merujuk kepada perkembangan arena politik tempatan sejak kebelakangan khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, beliau yang lazimnya mengulas dan menganalisis perkembangan politik semasa berkata, tindakan menjadikan agama sebagai mainan politik juga menyebabkan fatwa yang diputuskan tidak konsisten dan tidak ada keseragaman.

“Fatwa yang ada kejap boleh kejap tidak boleh, kemudian ada saja fatwa baru yang keluarkan, baik dari Barisan Nasional dan juga Pas... fatwa politik sangat bahaya, agama perlu dibebaskan dari mainan politik," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini.

Dalam ucapannya, Asri turut menyentuh sikap pemimpin-pemimpin politik yang menggunakan tulisan maya di laman sesawang sendiri untuk menyebarkan fitnah bagi menzalimi mereka yang tidak berdosa.

Sehubungan itu tegas beliau, pemimpin-pemimpin politik sepatutnya bersaing dana arena politik dengan cara yang sihat kerana ia melibatkan soal maruah seseorang.

“Apa yang ditulis dan disebarkan bukannya mahu bersaing idea yang baik, tetapi bersaing 'melondehkan' pihak lain. (Jadi) bagaimana nak berkembang perkara yang baik?

“Kita boleh nak kritik, tetapi biar berlapik, ada nilai, akhlak dan adil… bukan fitnah dan memburukkan orang lain," katanya tanpa merujuk mana-mana kes secara khusus.

Asri juga mengulas langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu sambil menyifatkannya sebagai tidak salah kerana itu adalah tuntutan tugas selaku seorang pemimpin kerajaan dan negara.

“Masuk ke kuil atas rasa tugas seperti polis tidak apa, macam itulah juga pemimpin politik, beliau tidak menyambut perayaan itu tetapi hadir sebagai seorang Muslim dan pemerintah.

“Beliau hadir untuk berhujah bukannya nak menyokong… beliau pemimpin rakyat, takkan nak buat tak peduli kepada rakyatnya yang berbilang kaum," katanya.

Asri juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan berkenaan kesesuaian umat Islam melibatkan diri dalam majlis agama lain supaya tidak berlaku kekeliruan.