Saturday, February 18, 2012

Tunggu kolej bayar RM1,700


KESAL...Zarinah dan Mokhtar menunjukkan dokumen tuntutan dibuat mereka.
KESAL...Zarinah dan Mokhtar menunjukkan dokumen tuntutan dibuat mereka.


PUCHONG: “Kami tunggu mereka kotakan janji atau tidak. Walaupun jumlah itu tidak banyak, tetapi dengan pendapatan suami sebagai despatch tidak seberapa...saya pula tak kerja, jumlah itu besar,” kata suri rumah, Zarinah Saleh, 42, di sini, semalam.
Dia ditemani suami, Mokhtar Saad, 47, ditemui di pejabat Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) bagi mengadu tindakan sebuah kolej di sini enggan membayar RM1,700, selepas kes yang dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Shah Alam, 18 Ogos tahun lalu berpihak kepadanya.

Zarinah berkata, hasil perbincangan dan campur tangan LPKPM, pihak kolej terbabit bersetuju membayar balik wangnya secepat mungkin seperti diputuskan TTPM.
“Saya tunggu...apa yang saya nak ialah hak saya yang mereka ambil.

“Walaupun saya tahu tuntutan itu tak seberapa, tetapi ia besar maknanya kepada saya untuk menyara empat anak,” katanya.

Menceritakan kejadian yang berlaku ke atasnya, Zarinah berkata, segalanya bermula selepas dia dan suami bersetuju menghantar anak perempuan sulung mereka ke kolej terbabit pada 21 Mei lalu bagi mengikuti kursus diploma pengurusan pelancongan.
Katanya, anaknya berminat mengikuti pengajian itu selepas yakin dengan penerangan pihak pengurusan kolej terbabit di sebuah universiti di Bangi sebelum membuat pembayaran pendahuluan RM400, manakala bakinya RM2,100 dibuat pada hari orientasi.

“Beberapa hari selepas itu, anak saya ke Melaka untuk orientasi selama dua hari sebelum dihantar ke cawangan kolej terbabit di Hulu Klang.
“Tetapi, jam 10 malam, anak telefon dan menangis meminta saya datang ambil dia secepat mungkin kerana semua kawannya sudah pulang yang tinggal cuma pelajar luar Lembah Klang,” katanya. Zarinah berkata, dia dan suami bergegas ke hostel anaknya dan terkejut mendapati hostel terbabit apartmen baru siap dan jauh dari bandar.

“Ketika saya tiba hanya seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh berada di situ, manakala warden asrama atau pihak kolej langsung tidak kelihatan.

“Keesokannya saya hubungi kolej terbabit dan diberitahu masalah itu berpunca daripada lebihan pelajar dan meminta saya sabar,” katanya memaklumkan dia diberitahu tidak akan dibayar baki kerana sudah menandatangani surat persetujuan kemasukan.

Berikutan tidak puas hati dia mengadukan perkara itu kepada TTPM dan keputusan berpihak kepadanya, namun sehingga kini dia belum menerima apa-apa bayaran.

Anaknya kini menyambung pengajian diploma perhotelan di sebuah kolej di Melaka.

Sementara itu, Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, hasil campur tangan pihaknya ejen kolej bersetuju membayar balik tuntutan kepada pengadu secepat mungkin.

myMetro | Tunggu kolej bayar RM1,700:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment