Friday, February 3, 2012

Organ babi depan masjid


KUALA LUMPUR: Gempar apabila kariah Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini, menerima satu bungkusan berwarna putih mengandungi kepala, telinga, kaki dan kulit babi, pagi semalam.
Kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku ketika seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid menyapu sampah dan terpandang satu bungkusan mencurigakan di luar pagar masjid yang disangka sampah sebelum menghubungi polis.

Bilal masjid, Mohamad Kofli Shafie, 48, berkata, dia melihat satu plastik putih diletakkan di dalam pintu pagar masjid pada jam 11.30 malam kelmarin.
Katanya, ketika itu, dia mahu pulang ke rumah dan sempat mengalih plastik itu keluar dari masjid menggunakan kaki.

“Pagi ini, AJK masjid memberitahu satu bungkusan ditemui di luar pagar masjid dan ia mengandungi babi,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 7.45 pagi yang memaklumkan penemuan kepala, kaki, tangan dan kulit babi di dalam satu bungkusan plastik yang diletakkan di luar pagar masjid.
Katanya, siasatan terperinci akan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana membangkitkan perasaan keresahan dan kemarahan umat Islam yang boleh dikenakan penjara hingga lima tahun.

“Kami menyeru orang ramai supaya tidak panik dan menyerahkan siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Polis merayu orang ramai supaya tidak bertindak balas di atas apa yang terjadi dan menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sejak 2010 hingga kini, terdapat lima kes berkaitan kepala babi di masjid.

Katanya, perbuatan itu dirancang dan ada pihak tidak bertanggungjawab cuba membuat provokasi terhadap umat Islam.

“Masalah ini perlu diatasi dan kami minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas serta mohon kerajaan bersuara.

“Selain itu, anggota Rela perlu diletak di kawasan masjid untuk memantau dan mencadangkan majlis agama negeri memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masjid,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar menyeru masyarakat supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.myMetro | Organ babi depan masjid:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment