Monday, February 13, 2012

Universiti Curtin anugerah Ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Rosmah




ROSMAH Mansor menerima Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Dr Jim Gill pada majlis konvokesyen Universiti Curtin di Perth, kelmarin. – BERNAMA


PERTH 12 Feb. – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Curtin, Australia sebagai mengiktiraf daya usahanya dalam pembangunan pendidikan terutama pendidikan kanak-kanak menerusi program Permata Negara.
Canselor Universiti Curtin, Dr. Jim Gill menyampaikan Ijazah Doktor Kehormat itu kepada Rosmah pada majlis konvokesyen universiti itu di sini pada Sabtu.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad serta Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Hamidah Ashari.
Pada majlis itu, lebih 500 graduan universiti itu, termasuk beberapa pelajar Malaysia menerima ijazah masing-masing.
Sementara itu, Rosmah dalam ucapan penerimaannya, melahirkan penghargaan terhadap Anggota Majlis universiti itu bagi penganugerahan ijazah itu.
Menekankan mengenai pentingnya pendidikan awal, Rosmah berkata, banyak gejala sosial di dunia akan dapat dibendung apabila peluang pendidikan diberi kepada semua termasuk di kawasan luar bandar dan juga golongan miskin di bandar.
Menurutnya, apabila kanak-kanak dipersiapkan daripada peringkat awal lagi, mereka akan dapat membuat penyesuaian dari segi mental, emosi dan psikologi dalam menentukan apa yang terbaik untuk diri mereka apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi.
“Telah terbukti tahun-tahun pembentukan awal seorang kanak-kanak itu, kepada sehingga sekurang-kurangnya berumur lima tahun adalah amat penting untuk menentukan keupayaannya untuk berjaya kemudiannya dalam kehidupan. Akan wujud potensi untuk hilang peluang jika kita tidak melabur dalam pendidikan awal yang betul untuk anak-anak kita,” katanya.
Rosmah berkata, pewujudan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak atau lebih dikenali ECEC di bawah program Permata Negara adalah untuk memastikan pendidikan di Malaysia menumpukan pada pembangunan manusia holistik dari peringkat awal dan juga untuk memastikan negara dapat membina modal insan cemerlang.
Katanya, untuk memenuhi hasrat dan harapan itu, dan menerusi perbincangan mendalam dengan pelbagai profesional dan sukarelawan di Malaysia pada 2007, program itu dilancarkan dan dikenali sebagai Permata, yang melambangkan generasi muda merupakan aset amat bernilai negara.
Rosmah berkata, program Permata menawarkan peluang luas kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam persekitaran holistik.
“Pembelajaran berdasarkan Penerokaan, Pengalaman dan Eksperimen yang direka khusus untuk memupuk dan menggalakkan rasa ingin tahu dan mencuba dalam diri kanak-kanak. Kami meletakkan tanda aras Permata dengan beberapa program berprestasi tinggi dari seluruh dunia,” katanya.
Katanya, dalam tempoh hanya lima tahun, program Permata Negara telah diperluaskan daripada lima projek perintis kepada lebih 600 pusat asuhan kanak-kanak Permata di seluruh Malaysia.
“Usaha kami akan diteruskan bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir atau terabai daripada mendapat pendidikan awal berkualiti,” katanya.
Program Permata juga meliputi empat program lain. Sebuah pusat untuk golongan berbakat dan cemerlang akademik mempunyai sebuah sekolah untuk pelajar berumur 16 hingga 17 tahun yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Program kem tahunan untuk kanak-kanak berbakat berumur 9 hingga 15 tahun turut diadakan dengan kerjasama Johns Hopkins Center for Talented Youth.
“Permata juga mempunyai program untuk kanak-kanak berbakat dalam seni persembahan dan juga pengajian dalam al-Quran dan Sunnah. Di bawah program ini juga (Permata) kami juga mengadakan program untuk memperkasakan Remaja Berisiko,” katanya.

No comments:

Post a Comment