Friday, March 23, 2012

2009 paling banyak kes rogol di Malaysia



Harakahdaily,23 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 23 Mac: Sebanyak 24,635 kes rogol direkod oleh negara ini dari tahun 2003 hingga 2011, kata Menteri Dalam Negeri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen.

Datuk Seri Hishamudin Husein memaklumkan perkara ini ketika menjawab soalan anggota Parlimen PAS Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria (gambar).

Kes rogol ini pula meningkat dari tahun ke tahun dengan tahun 2009 mencatat rekod tertinggi iaitu 3,626 kes untuk tahun tersebut.


Pada tahun 2010 pula, kes rogol yang direkodkan adalah sebanyak 3,595 manakala tahun 2011 3,301 kes dicatat.

Mohd Nasir dalam soalannya bertanya Menteri Dalam Negeri statistik jenayah rogol yang berlaku di Malaysia dari tahun 2003 hingga 2011.

Dalam jawapannya, menteri memaklumkan, keseluruhan kes rogol dari tahun 2003 hingga 2011 adalah 24,635 kes.

Pada 2003, jenayah rogol mencatat 1,479 kes, 2004 (1,765),  2005 (1,931), 2006 (2,431), 2007 (2,098), 2008 (3,409), 2009 (3,626), 2010 (3,595) dan 2011 (3,301).

"Sedih saudara.. Inilah statistik jenayah rogol 2003 hingga 2011 di Malaysia," kata Mohd Nasir ketika mengulas jawapan menteri ini kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, umat Islam perlukan undang-undang Islam yang objektifnya bukan sekadar menghukum dan mendenda penjenayah, tetapi mendidik, mengajar, mencegah, menghukum dan mengamankan dunia.

Namun, Timbalan Menteri KDN Datuk Wira Abu Seman ketika menjawab soalan beliau tentang memperkasakan Undang-undang Jenayah Islam menjawab "Kita akan kekal dengan sistem yang ada. Beliau menyambung kehendak Tun Mahathir."

No comments:

Post a Comment