KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim menyeru orang Melayu menekankan keperluan "jihad bisnes" untuk memperbaiki semula kedudukan ekonomi yang terjejas teruk ekoran "sikap taksub politik."

"Sekarang ini, selepas terkesan daripada sikap taksub politik, habis ekonomi orang Melayu jatuh. Oleh sebab itu, kita perlu satukan semula dengan menggunakan jihad bisnes," kata beliau.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation ini, kelemahan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam berpunca daripada tindakan meletakkan kepentingan politik dalam perniagaan sehingga berlaku perpecahan.

Justeru beliau menyarankan agar orang Melayu memperjuangkan perniagaan sebagai satu cabang jihad dan meletakkan perjuangan bisnes sebagai perkara utama dalam agenda ekonomi Islam Hadhari.

Menurut beliau, peniaga-peniaga Melayu terlalu taksub dengan politik sehingga mengetepikan ekonomi.

"Bukan kita tidak boleh melibatkan diri dengan politik, tetapi biar ia seimbang. Siang malam sibuk berkempen dan berparti, macam mana nak kembangkan perniagaan dan ekonomi sendiri. Tumpu sehingga betul-betul berjaya, tapi sokongan sebagai rakyat Malaysia tetap juga laksanakan.
"Perlu ada sikap profesional, sebab itulah jihad dilihat sebagai ideologi yang dapat membantu peniaga Bumiputera berada di landasan yang betul," kata beliau pada sidang media di akhir seminar Jihad Bisnes Satu Pendekatan Bagi Memajukan Ekonomi Bangsa anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) hari ini.

Katanya, cabaran ekonomi orang Melayu semakin hebat dan oleh itu, mekanisme baru perlu diwujudkan untuk membantu menegakkan keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan golongan miskin dan lemah.

"Berjihad dalam bisnes adalah bertujuan untuk menyatupadukan golongan ahli perniagaan. Jika dahulu, ekonomi Melayu naik sehingga 22 peratus sebab semua menyokong dan membantu ekonomi Melayu," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu perlu memperjuangkan nilai Islam dalam perniagaan dengan membina sistem ekonomi  yang sesuai dengan jiwa Melayu dan melihat umat Islam.

"Jihad bisnes tidak mengejar kekayaan untuk keperluan peribadi, tetapi menggunakan harta untuk membantu orang Islam lain. Justeru, landasan Islam tidak mementingkan kepentingan individu saja.

"Jika kita berjihad dalam perniagaan, ekonomi akan lebih mudah dipertingkatkan," katanya.