Tuesday, April 10, 2012

Roslin, Faizah gagal selesai cara baik



KUALA LUMPUR 9 April - Kes tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad akan diteruskan dengan perbicaraan setelah rundingan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.
Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menyatakan, ekoran kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan, mahkamah memerintahkan kes itu diteruskan dengan semua isu dan tuntutan asal.
Menurut beliau, Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 25 dan 26 Jun ini untuk sambung bicara tuntutan tersebut secara tertutup.
Faizah, 35, selaku defendan yang diwakili oleh peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah memakai baju kurung dan tudung berwarna oren.
Roslin, 36, yang merupakan plaintif dalam tuntutan itu turut hadir.
Mereka bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 namun selepas 12 hari berumah tangga, Roslin didakwa telah menceraikan Faizah.
Pasangan itu disahkan bercerai pada 12 Mei tahun tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak yang jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460 yang merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita yang pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

No comments:

Post a Comment