Saturday, May 5, 2012

4 peguam ditahan polis saman KPN, kerajaan

4 peguam ditahan polis saman KPN, kerajaan - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Empat peguam wanita yang ditahan polis ketika hendak berjumpa dengan anak guam mereka yang ditahan kerana mengadakan perhimpunan nyalaan lilin tiga tahun lepas, hari ini memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan.

Fadiah Nadwa Fikri, 29, Murni Hidayah Anuar, 28, Puspawati Rosman, 31, dan Syuhaini Safwan, 28 memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Daim & Gamany.

Mereka menamakan tiga pegawai penangkap, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Timbalan Penguasa Polis DSP Jude Pereira, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka berkata pada 7 Mei 2009, pukul 9.35 malam mereka telah hadir di luar perkarangan Ibu Pejabat Daerah Brickfields (IPD).

Tujuan mereka adalah untuk memberi bantuan guaman kepada 14 anak guam mereka yang ditahan pada hari itu kerana mengadakan perhimpunan nyalaan lilin terhadap Wong Chin Huat, aktivis hak asasi yang ditahan mengikut Akta Hasutan.

Mereka pada masa itu peguam dari Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur, mendakwa telah dihalang memasuki kawasan IPD itu untuk bertemu anak guam atas alasan anak guam mereka telah menandatangani satu borang bagi melepaskan hak mereka untuk bertemu peguam.

Keempat-empat peguam itu mendakwa anak guam mereka ketika dihubungi melalui telefon bimbit menafikan mereka menandatangani borang itu.

Mereka mendakwa telah beberapa kali memohon untuk berjumpa dengan anak guam mereka tetapi gagal berjumpa.

Selepas itu seorang pegawai polis muncul bersama "loud hailer" membuat pengumuman supaya mereka bersurai di kawasan luar IPD itu namun mereka gagal berbuat demikian dan seterusnya mereka ditahan di dalam IPD itu.

Peguam-peguam itu mendakwa pada pukul 5 pagi, 8 Mei 2009 mereka dibawa menaiki kereta ke Balai Polis Travers dan dibebaskan dengan jaminan polis pukul 12 tengah hari.

Mereka mendakwa penahanan mereka itu tidak sah dan menyalahi undang-undang dan memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan kos.- Bernama

No comments:

Post a Comment