Saturday, May 12, 2012

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis - Nasional - Sinar Harian:

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis
M Lim Chee Wee bersama , Christopher Leong (dua, kiri) menunjukkan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas.

Usul tersebut juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, yang membaca sejumlah 12 usul yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) itu, mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya tidak melengahkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Seramai 1,270 ahli yang menghadiri EGM itu, 939 daripada mereka menyokong usul tersebut yang juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenalpasti anggota polis terbabit dalam salah laku sewaktu perhimpunan itu supaya mereka boleh didakwa.

Salah satu usul juga menyentuh keperluan bagi penganjur bertanggungjawab mengambil tindakan berpatutan bagi memastikan perhimpunan awam anjuran mereka berjalan secara aman.

Badan peguam itu juga melahirkan kebimbangan dengan laporan bahawa orang tertentu telah melintasi pagar penghadang polis walaupun pihak penganjur telah mengumumkan supaya peserta perhimpunan itu bersurai.

Media tidak dibenarkan masuk ke dewan mesyuarat EGM itu diadakan di sebuah hotel di sini dan hanya peguam yang diberikan pelekat khas dibenarkan masuk.

Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah dengan beberapa peguam membantah usul tersebut.

Ditanya mengenai langkah susulan majlis itu, Lim memberitahu pemberita bahawa mereka akan berurus dan memberi kerjasama penuh kepada pegawai atasan PDRM, Suruhanjaya Hak Asasi manusia Malaysia (Suhakam) dan  Kementerian Dalam Negeri bagi menangani perkara itu.

Diminta mengulas pelantikan enam anggota Panel Penasihat Bebas diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar bagi mendapatkan gambar sebenar mengenai kejadian rusuhan pada hari perhimpunan, Lim berkata panel itu seharusnya diketuai oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Sim berikutan kenyataan Hanif yang mengaitkan penganjur dengan beberapa elemen komunis.

Beliau juga berkata Majlis Peguam tidak akan berurusan dengan panel itu kerana kekurangan kerangka perundangan dan tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi atau meminta dokumen.

Pada Rabu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelantikan Hanif, Shim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang  Kumpulan Akbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan, Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail dalam panel tersebut.

Lim juga turut mendedahkan laporan akhir pasukan pemantauan Majlis Peguam bagi perhimpunan 28 April itu yang mendakwa polis telah menggunakan kekerasan untuk menyuraikan peserta.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut pihak polis memudahkan perhimpunan sama di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bharu dan Ipoh pada hari berkenaan. - Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment