Saturday, May 12, 2012

Perkasa mahu fatwa gugur nama Islam pada Pas

Perkasa mahu fatwa gugur nama Islam pada Pas - Nasional - Sinar Harian:

IBRAHIM_ALI
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali
PASIR MAS - Perkasa mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran Pas menggunakan perkataan Islam pada parti itu.
 
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam, terutama di kalangan penyokong fanatik parti itu.
 
Bercakap kepada pemberita selepas majlis ceramah di sini malam tadi, beliau berkata ada yang menganggap setiap tindak tanduk atau kenyataan daripada pemimpin Pas sebagai tuntutan Islam.
 
Contohnya ialah seperti kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan umat Islam khasnya penyokongnya menyertai perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan yang menimbulkan kekacauan di ibu negara baru-baru ini.
 
"Sedangkan beliau (Nik Aziz) sendiri tidak menyertai perhimpunan itu, yang menyebabkan beberapa orang awam dan anggota polis cedera," katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan Pas telah menyeleweng jauh dari Islam dan seolah-olah fahaman yang dibawa Pas semuanya adalah tuntutan Islam.
 
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam pada itu berkata beliau sanggup mendedahkan lebih banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pemimpin parti itu, terutama berkaitan pembelian tanah yang melibatkan pemimpin parti itu.
 
"Saya sedia membawa perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika ada pemimpin parti itu sanggup mencabarnya berbuat demikian," katanya.
 
Presiden pertubuhan bukan kerajaan, Jalur Tiga (Jati) yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang turut serta pada majlis ceramah itu berkata Jati akan menghantar satu memorandum tuntutan 10 perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jika anggotanya mencecah 100,000 orang.
 
Antara tuntutan utama ialah menggesa kerajaan menjadikan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib di peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment