Thursday, May 10, 2012

Nekad mogok lapar untuk kebebasan

Nekad mogok lapar untuk kebebasan - Global - Sinar Harian:


Nekad mogok lapar untuk kebebasan
Dianggarkan kini, lebih 1,600 daripada tahanan Palestin menyertai mogok lapar secara besar-besaran untuk kali kedua sejak 17 April lalu.
SEJAK pencerobohan Israel di Palestin 60 tahun lalu, sekurang-kurangnya 700,000 penduduk di wilayah Islam itu didakwa tanpa usul periksa di bawah undang-undang rejim Zionis dan dibicarakan secara tidak adil di Mahkamah Tentera Israel.
Penganiayaan itu menyebabkan tahanan Palestin memulakan mogok lapar ketika dikurung di dalam penjara Zionis, seperti pejuang Khader Adnan dan Hana Al-Shalabi.
Terbaru, mogok lapar besar-besaran kali kedua diadakan selepas sambutan Hari Tahanan pada 17 April lalu dan mogok kali ini disertai ribuan tahanan Palestin sebagai protes terhadap ketidakadilan rejim Zionis.
Namun, mereka tidak berjuang sendirian apabila turut menerima sokongan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan menerusi pelancaran kempen Hunger 4 Freedom (Berlapar Untuk Kebebasan).
Sokongan itu dizahirkan melalui mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) untuk menandatangani deklarasi perpaduan antara tahanan Palestin dan rakyat Malaysia, Ahad lalu.
Majlis itu dihadiri wakil 12 NGO tempatan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia, Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha untuk menyampaikan maklumat tepat ke seluruh dunia terutamanya umat Islam mengenai penderitaan dan pencabulan hak asasi yang ditanggung kira-kira 4,700 tahanan Palestin.
Menurut penjelasan Pengarah Eksekutif PCOM, Muslim Abu-Umar, ribuan tahanan Palestin menuntut pihak berkuasa Israel untuk memberikan mereka hak asasi yang diakui oleh Konvensyen Geneva dan Undang-undang Hak Asasi Antarabangsa.
Antara tuntutan termasuk menghentikan dasar gangguan harian, serangan ganas, kehilangan hak lawatan, pemeriksaan tahanan secara berbogel, pengabaian perubatan dan pengurungan berasingan.
Muslim berkata, deklarasi ditandatangani itu akan diserahkan kepada pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Damansara, pada bulan ini sebagai tanda sokongan terhadap ribuan tahanan Palestin tersebut.
Tahanan Palestin di penjara rejim Zionis sehingga kini terdiri daripada 185 kanak-kanak, 27 Ahli Parlimen dan 320 lagi ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran.
“Krisis kemanusiaan tahanan ini tidak mendapat perhatian media antarabangsa seperti kes konflik diplomatik walaupun ada tahanan Palestin yang telah ditahan selama 25 tahun.
“Saya harap media di Malaysia dan antarabangsa boleh membuat laporan susulan perkembangan tahanan yang sanggup mengorbankan nyawa untuk memberitahu seluruh dunia, ‘Kami (tahanan Palestin) di sini ( penjara Israel) telah ditahan tanpa sebab,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Hasil perbincangan awal PCOM dan NGO negara ini menyaksikan mereka mahu lebih banyak NGO menyertai deklarasi itu dan merancang pelbagai aktiviti terutamanya melibatkan golongan pelajar termasuk di luar negara bagi menyokong perjuangan tahanan Palestin.
Tujuan utama deklarasi itu bukan untuk menggesa tahanan Palestin menamatkan mogok lapar tetapi mahu mendedahkan layanan buruk Israel terhadap tahanan Islam.
Pada masa ini, kebanyakan penduduk dan pertubuhan Islam di kebanyakan negara Arab dan di Eropah telah menujukkan sokongan menerusi kempen perpaduan dengan tahanan Palestin di negara masing-masing.
Kini, tanggungjawab kita adalah menyokong insan teraniaya itu supaya mendapat semula hak mereka.

No comments:

Post a Comment