Thursday, June 14, 2012

Ambiga saman balas kerajaan

KUALA LUMPUR: Pengerusi BERSIH 3.0 Datuk S Ambiga yang disaman kerana didakwa gagal mengawal perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April lalu sehingga menyebabkan 15 kenderaan rosak, mengemukakan tuntutan saman balas terhadap kerajaan. 

Dalam tuntutan saman balas dan pernyataan pembelaannya bertarikh 8 Jun lalu, Ambiga memohon perisytiharan bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak berperlembagaan selain menuntut ganti rugi am, teruk dan kos.
Ambiga berkata, kerajaan melalui ejennya termasuk polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan media massa dengan niat dan secara sengaja mengambil langkah untuk menggagalkan perhimpunan diadakan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka.
Katanya, beliau berhak untuk mendapatkan ganti rugi termasuk ganti rugi teruk kerana hak asasi kebebasannya dinafikan berikutan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan dan agensinya. 

Dalam pernyataan pembelaannya, Ambiga berkata perintah dikeluarkan Majistret tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang untuk menghalang beliau atau sesiapa pun daripada menghadiri perhimpunan itu. 

Melalui prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan pada 18 Julai depan bagi pengurusan kes. 

Kerajaan memfailkan saman terhadap Ambiga dan sembilan ahli jawatankuasa penganjur pada 23 Mei lalu dengan menuntut ganti rugi RM122,000 dengan mendakwa defendan gagal mengawal perhimpunan itu menyebabkannya mengalami kerugian berikutan 15 kenderaan miliknya mengalami kerosakan.

No comments:

Post a Comment