Tuesday, June 19, 2012

Pejabat Nizar digeledah

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
Pejabat Pas Negeri di Medan Istana antara yang digeledah.
IPOH – Tiga pejabat operasi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang digeledah polis Johor, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan, operasi yang bermula kirakira jam 11.30 pagi itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, di sini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.
Turut menerima situasi sama, kediaman Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di Sungai Rokam di sini, bagaimanapun tiada sebarang serbuan dilakukan berikutan ketiadaan Mohammad Nizar di rumah berkenaan.
Jurucakap Pas Perak, Safarizal Saleh ketika dihubungi berkata, sepasukan polis berkenaan hadir bersama waran kebenaran daripada mahkamah yang menyatakan serbuan dibuat di lokasi berkaitan bagi mencari bahan bukti.

Bagaimanapun menurutnya, kehadiran pasukan itu yang menjalankan operasi secara serentak di empat kawasan berkenaan agak mengejutkan kerana tiada makluman awal dibuat.
“Sepanjang penyiasatan itu berlangsung, kita memberikan kerjasama yang baik, malah beberapa peguam kita turut serta dalam operasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan, operasi mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan bukti yang dicari dijumpai atau tidak,” katanya yang memaklumkan, tiada sebarang soal siasat dijalankan membabitkan kakitangan di tiga pejabat operasi berkenaan.

Safarizal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyiasatan yang dilakukan, semalam berkaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa juga keadaan yang berlaku sekarang, beliau berharap siasatan yang dilakukan itu berjalan dengan baik. “Meskipun didatangi secara mengejut, kita sudah berikan kerjasama, harap apa yang mereka lakukan hari ini (semalam) bukan bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Ketika serbuan dijalankan semalam, Mohammad Nizar masih berada di Parlimen dan hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Sementara itu, di Johor, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sewaktu dihubungi enggan mengulas berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment