Wednesday, August 1, 2012

kerajaan-pakatan-pulau-pinang-bayar-bonus-raya-kakitangan-awam

GEORGE TOWN, 28 JULAI: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengumumkan pemberian bonus Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam sebanyak setengah bulan, dengan minima RM600, dan RM300 kepada guru KAFA.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pemberian bonus Hari Raya itu adalah sama seperti tahun lepas dan tidak berniat untuk digunakan sebagai kempen pilihan raya kerana ia merupakan sumbangan ikhlas menghargai jasa kakitangan awam.

Katanya, amaun pemberian bonus pada tahun ini meningkat kepada RM3.9 juta berbanding tahun lepas kerana mengambil kira penjawat awam yang telah bertambah dari 3,645 orang kepada 3,780 orang.

Menurutnya, jumlah juga bertambah kerana ia berasaskan kepada kepada kenaikan gaji tahunan anggota-anggota perkhidmatan awam dan kadar kenaikan gaji 13% yang telahpun diselaraskan pada April 2012.

“Pemberian bayaran minimum RM600 kepada anggota yang berpendapatan rendah adalah berasaskan kepada prinsip pemberian yang sama yang telahpun diberi pada tahun lalu dan bukan untuk tujuan gula-gula pilihanraya seperti mana sindiran yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya..

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bonus Hari Raya kepada kakitangan kerajaan sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum hanya RM500, kurang RM100 berbanding kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Bonus tersebut akan dibayar kepada mereka yang layak pada 9 Ogos nanti. – Roketkini.com

http://roketkini.com/2012/07/28/kerajaan-pakatan-pulau-pinang-bayar-bonus-raya-kakitangan-awam/
 

No comments:

Post a Comment