Friday, August 31, 2012

Sri Wani berjaya ketepi kes



Sri Wani
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pengusaha kecantikan yang jantinanya dipertikaikan oleh suami, Sri Wani Choo Abdullah berjaya mengetepikan empat permohonan suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini termasuk perintah agar wanita itu menjalani ujian menentukan jantina.
Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan membatalkan permohonan suaminya, Dr. Bahrom Sanugi dengan kos guaman sebanyak RM12,000 yang perlu dibayar kepada Sri Wani dalam tempoh sebulan.
Bahrom, 61, mengemukakan empat permohonan antaranya faraq nikah (menjarakkan perkahwinan) pada 17 Januari tahun lalu dan perintah agar Sri Wani, 37, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) awal tahun ini selepas dia meragui jantina isteri ketiganya itu.
Mahkamah turut menolak dua lagi permohonan Bahrom iaitu untuk memenjarakan (komital) Sri Wani atas dakwaan melanggar perintah mahkamah dan mendapatkan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.
Menurut Abdul Walid, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesemua kes terbabit kerana Bahrom selaku responden tidak bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sri Wani ketika ditemui di luar mahkamah dalam nada sebak mengucapkan kesyukuran atas keputusan yang memihak kepadanya itu dan berterima kasih kepada peguam syarienya, Boestamam Ahmad serta semua umat Islam yang memberikan sokongan kepadanya sepanjang kes itu berjalan.
''Walaupun amat tersiksa menanggung segala penghinaan selama ini tapi saya reda dengan ujian Allah dan bersyukur kini nasib saya terbela,'' katanya.
Beliau yang merupakan saudara baharu (mualaf) turut berterima kasih kepada wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) termasuk pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang hadir memberikan sokongan kepadanya.
Sri Wani juga mendakwa, tidak pernah berdendam dengan suaminya itu, malah mendoakan kebahagiaan Bahrom.
Peguam syarie, Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom ketika diminta mengulas berhubung tindakan selanjutnya menyatakan, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung kos guaman itu selain memfailkan semula kes induk di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.
Bahrom bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen manakala isteri pertamanya yang hadir menemaninya menyatakan, pihaknya tidak gembira dengan keputusan itu.
Sri Wani dan Bahrom berkahwin di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2008.

No comments:

Post a Comment