Himpunan Hijau Raub langgar dua syarat
Kehadiran peserta yang menjayakan Himpunan Hijau Raub dalam keadaan aman dan tenteram.


RAUB – Penganjuran Himpunan Hijau Raub berlangsung di Kompleks Majlis Daerah Raub petang tadi melanggar dua syarat yang dipersetujui sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, sepanjang program berlangsung selama dua jam, peserta didapati membawa kanak-kanak bawah 15 tahun dan mereka juga mengadakan perarakan.

Menurutnya, tindakan wajar akan diambil mengikut peraturan ditetapkan bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

“Sebelum ini penganjur sudah menandatangani akujanji untuk mematuhi 16 syarat ditetapkan termasuk tidak membawa kanak-kanak dan tidak mengadakan perarakan.

“Tetapi semasa program ini berlangsung mereka didapati melanggar dua daripada 16 syarat itu,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, hari ini.

Dalam perkembangan lain, penganjuran program Himpunan Hijau Raub berakhir dengan sedikit kekecewaan apabila wakil Raub Australian Gold Mining (RAGM) gagal hadir pada waktu ditetapkan walaupun penganjur sudah menunggu sehingga setengah jam.

Perhimpunan yang seharusnya berlaku dalam kawasan ditetapkan bertukar menjadi perarakan apabila penganjur nekad menghantar sendiri memorandum ke lokasi perlombongan emas di Bukit Koman.

Wan Mohd Samsudin berkata, perarakan itu berjaya disekat di pertengahan jalan bagi tujuan keselamatan dan keamanan.

Katanya, memorandum yang dibawa penganjur pula diambil untuk diserahkan kepada RAGM tanpa perlu penganjur Himpunan Hijau berbuat demikian.

“Sebenarnya wakil RAGM ada hadir tetapi mereka sedikit terlewat dan masuk melalui pintu hadapan dekat Kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin dan peserta serta penganjur pula terus meluru keluar menerusi pintu berhampiran gelanggang futsal di bahagian belakang.

“Kita (polis) mengambil memorandum pada pertengahan jalan agar tidak berlaku kekecohan dan penganjur juga memberi kerjasama menangani situasi ini,” kata Wan Mohd Samsudin.