Monday, September 10, 2012

Kutuk sami sokong penghapusan etnik

PUTRAJAYA: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) dan Majlis Gerakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean menyelar tindakan sekumpulan sami Buddha yang mengadakan perarakan bagi menyokong usaha penghapusan dan pengusiran etnik Rohingya dari Arakan, Myanmar.

Setiausaha Ikiam, Mohd Shamsuddin Damin berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan kumpulan sami terbabit kerana nyata mengganggu dan mempengaruhi proses siasatan dilakukan oleh suruhanjaya siasatan ditubuhkan kerajaan negara berkenaan.


Menurutnya, perarakan itu menunjukkan kumpulan terbabit tidak menghormati hak kemanusiaan dan hubungan baik dengan umat Islam.

“Kumpulan itu mahu umat Islam Rohingya dihapuskan dan diusir dari Arakan dan Myanmar. Jelas kumpulan itu menyeleweng daripada amalan ajaran Buddha. “Sepatutnya kumpulan sami Buddha terbabit menyeru kerajaan Myanmar mengintegrasikan penduduk Muslim Rohingya dengan seluruh rakyat. Mereka sewajarnya menjadi penggerak perdamaian, bukannya penghalang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.


Laporan baru-baru ini menyatakan ratusan sami Buddha di Myanmar mengadakan perarakan dengan membawa sepanduk berbunyi “Selamatkan tanah air kamu dengan menyokong presiden”. Mohd Shamsuddin berkata, dalam menyelesaikan isu berkenaan pihaknya turut menggesa NGO Buddha di Malaysia yang menikmati kesejahteraan dan kemewahan tampil membantu dengan cuba mempengaruhi kumpulan sami di negara berkenaan.

No comments:

Post a Comment