Saturday, September 22, 2012

Terpikat cara hidup unik Islam

Terpikat cara hidup unik Islam
Abdul Jasheer Jayaseelan Abdullah
Menetap di Kampung Nenas Nibong Tebal dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan dibesarkan dalam kelompok perkampungan Melayu, membuatkan Abdul Jasheer Jayaseelan Abdullah terdedah dengan cara hidup Islam sejak usia kanak-kanak lagi.

Keadaan itu membuatkan, anak bongsu dari tujuh beradik ini sudah memahami adat dan budaya Melayu, kadang-kala mereka juga terikut-ikut dengan amalan yang menjadi rutin harian.

“Kami sama-sama pergi sekolah, bermain, saling bertukar makanan, kongsi perayaan dan bermacam-macam aktiviti dilakukan bersama membuatkan saya tertarik kepada cara hidup yang unik berpaksikan nilai Islam,” demikian permulaan cerita mualaf berusia 47     -tahun ini.

Peluk Islam pada usia 23 tahun

Abdul Jasheer berkata, semasa belajar di Sekolah Menengah Kuala Ketil, beliau turut mengikuti kelas agama Islam.

"Walaupun mereka tahu asal-usul saya tetapi mereka tidak menghalang. Kebetulan pada masa itu, saya sudah rapat dengan ‘seseorang’ yang menjadi rujukan setiap kali ingin mengajukan persoalan berhubung Islam.

“Meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar di tingkatan empat dan lima memberi peluang saya membina hubungan seterusnya meluaskan ilmu agama Islam kerana dikelilingi majoriti pelajar Melayu,” katanya.

Menurutnya, setiap kali Ramadan, dia cuba berpuasa dan ikuti jamuan moreh dengan rakan sekolah.

“Habis sahaja pembelajaran di Maktab Perguruan Seri Kota, Kuala Lumpur pada November 1988, saya nekad memeluk Islam. Saya dibawa oleh keluarga kawan baik yang kini menjadi isteri saya.

“Pada permulaannya, sudah pasti ada tentangan kecil namun, jauh di sudut hati, saya percaya keluarga merestui apabila mereka hadir ke majlis pertunangan dan perkahwinan saya selepas itu,” katanya.

Abdul Jasheer berkata, hubungan keluarga masih erat walaupun sudah berlainan agama malah setiap kali tibanya hari raya, rumahnya pasti dipenuhi sanak-saudara yang berkunjung dan meraikan perayaan itu.

Beliau turut melahirkan rasa bertuah kerana memiliki isteri dan keluarga mertua yang banyak membantu di samping memahami cara hidupnya walaupun berlainan budaya selain mengharapkan diberi kesempatan menunaikan umrah bersama.

Menurutnya, apabila ada kemusykilan agama, beliau akan merujuk keluarga mertua ataupun ustaz dan rakan Islam lain.

Temui Muslim pelbagai negara

Abdul Jasheer berkata, kesempatan menyambung pelajaran dalam Ijazah Pendidikan, Pendidikan Teknologi Maklumat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1997 hingga 2001 dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau kemudian diberi kesempatan meneruskan pengajian dalam Sarjana Sains di Universiti Napier, Scotland pada 2007 hingga 2009 yang banyak memberi pengalaman baru terutama apabila berjumpa umat Islam dari seluruh dunia.

“Di sana banyak surau dan masjid didirikan, apabila tiba solat Jumaat atau hari raya, kami akan berkumpul berkongsi maklumat dan saling berkenalan.

“Tiada perasaan berada di bumi asing kerana umat Islam saling membantu malah bulan Ramadan amat unik sekali apabila setiap makanan disedekahkan.

“Apabila tiba waktu berbuka pula, kami sekeluarga akan bertukar-tukar surau untuk solat Tarawih. Dalam masa sama, kami boleh berkenal-kenalan dengan umat Islam dari pelbagai negara selain menikmati juadah moreh yang pelbagai.

“Di sana tiada bazar Ramadan kerana setiap individu akan sedekahkan makanan di masjid dan surau. Makanan begitu banyak dan boleh pilih sahaja apa yang nak dimakan,” katanya.

Abdul Jasheer berkata, beliau masih berkawan dengan rakan India bagaimanapun apabila menjalankan tugas tidak kira dalam bidang apa pun, beliau tetap berpendirian teguh dengan ajaran Islam.

“Semasa saya sama-sama dengan rakan MIC ke Kuala Lumpur atas tugasan, mereka turut sama bersahur dengan saya, begitu juga masa berbuka puasa dan masa beribadat yang sangat dihormati,” katanya.

Menurutnya, sebagai umat Islam dia begitu mengharapkan semua umat bersatu tanpa ada perpecahan terutama dari segi ideologi politik.

“Islam diharapkan dapat menyatupadukan keakraban dan tali persaudaraan. Antara 49-50 negara Islam dunia, Malaysia adalah yang paling disanjung dan dihormati.

“Sekiranya mahu terus mendapatkan penghormatan ini, perpaduan melalui agama jadi paksi. Perpecahan Islam akan dijadikan peluang oleh pihak lain untuk memecahbelahkannya lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment