Pramote Prom-in
Beberapa serangan awal telah berlaku sempena ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Tak Bai pada Khamis ini.
NARATHIWAT - Penduduk di kawasan pedalaman selatan Thailand, semalam, diberi amaran agar bersedia menghadapi kebangkitan keganasan yang dijangka tercetus susulan ulang tahun insiden pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada Khamis ini.
Amaran dikeluarkan pihak atasan Operasi Keselamatan Dalaman 4, berikutan wilayah berkenaan akan berhadapan hari bersejarah melibatkan insiden pertumpahan darah dalam beberapa hari lagi.
Sepanjang tempoh ini, beberapa insiden serangan telah berlaku, melibatkan satu rangkaian pengeboman dan tembakan di Narathiwat pada Sabtu dan kelmarin.
Sekurang-kurangnya dua askar terbunuh selain lebih10 orang termasuk kanak-kanak berumur sembilan tahun parah.
Jurucakap pegawai, Kolonel Pramote Prom-in berkata, semua tentera di wilayah bergolak itu telah diarah bersedia menghadapi serangan yang lebih kejam sehingga hujung bulan ini.
Katanya, pasukan risikan tempatan mendedahkan kira-kira 2,000 ahli puak pemisah bakal melancarkan serangan di pedalaman selatan Thailand.
"Mereka tidak akan hanya memfokuskan daerah Tak Bai, sebalik kumpulan penyerang ini akan berpecah ke kawasan lain.
"Mereka juga dijangka cuba menguatkan serangan balas dendam terhadap kerajaan yang sebelum ini berjaya membuatkan 93 militan selatan menyerah diri kepada pihak berkuasa," kata Pramote.
Pada 25 Oktober 2005, tentera kerajaan terpaksa bertindak keras terhadap beribu penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di pintu masuk balai polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan kampung yang ditahan. -Bangkok Post
Akibat daripada itu, seramai 85 orang terbunuh, 78 daripada mereka maut kerana lemas dan dihempap semasa dipindahkan ke pusat tahanan. Tujuh daripadanya mati ditembak. -Bangkok Post