Saturday, October 20, 2012

China adakan latihan tentera



Sebahagian daripada 11 kapal tentera China belayar ketika satu latihan tentera di perairan Laut China Timur, semalam. - Reuters
BEIJING 19 Okt. - China, hari ini mengadakan latihan tentera di Laut China Timur, tindakan terbaru yang dilihat bakal memarakkan lagi ketegangan dengan Jepun berhubung pertikaian wilayah maritim di perairan berkenaan.
Sebanyak 11 kapal tentera, termasuk kapal-kapal perang serta lapan buah pesawat dihantar ke perairan timur negara ini, dalam tindak balas konfrontasi paling serius Beijing sejak akhir-akhir ini.
Latihan selama satu hari itu diumumkan lewat malam tadi oleh agensi berita Xinhua dan turut dimuatkan dalam laman web Kementerian Pertahanan China.
"Latihan ini bertujuan meningkatkan persediaan China bagi melindungi kedaulatan wilayah dan kepentingan maritimnya.
"Kita akan menguji kemampuan tindak balas kecemasan tentera laut dan memastikan penguatkuasaan undang-undang maritim terus dilaksanakan," kata pegawai tentera laut, Laksamana Muda Shen Hao dalam laman web stesen radio China Radio International.
Kementerian itu tidak memberi ulasan lanjut mengenai lokasi latihan itu.
Steen televisyen China Central Television (CCTV) turut menyiarkan imej beberapa buah kapal perang dan helikopter yang mengambil bahagian dalam latihan perang tersebut.
Ketegangan berikutan krisis tersebut semakin meningkat selepas kerajaan Jepun membeli beberapa pulau di perairan terbabit pada bulan lalu, menyebabkan tunjuk perasaan anti-Jepun diadakan di seluruh China dan menjejaskan jualan barangan buatan Jepun di negara ini.
China sejak itu juga beberapa kali mengambil langkah memulaukan Jepun, termasuk enggan menghantar wakil pada persidangan ekonomi global yang berlangsung di negara itu bulan ini.
Beijing, baru-baru ini turut menghantar kapal pengawasan dan kapal kawalan bagi melindungi nelayan China di perairan berdekatan kepulauan Diaoyu/Senkaku yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara, ketika ketegangan memuncak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_03/China-adakan-latihan-tentera#ixzz29uH0NfBG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment