Tuesday, November 13, 2012

13 maut gempa kuat di Myanmar


13 maut gempa kuat di Myanmar
Seorang penduduk tempatan memerhati arca di biara runtuh selepas gegaran kuat.
YANGON - Sekurang-kurangnya 13 penduduk awam terbunuh dan 40 lagi cedera dalam satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada Skala Richter di utara Mandalay, Myanmar, semalam.

Pusat Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gegaran berlaku kira-kira 116 kilometer (km) pada kedalaman 10km di pusat bumi dan disusuli pula gegaran kedua yang berukuran 5.0 pada Skala Richter.

"Semua orang bimbang jika gempa susulan akan berlaku terutama sekali pengusaha yang menjalankan perniagaan di dalam bangunan tinggi. Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan jika ianya berulang," kata penduduk tempatan, San Yu Kyaw.

Pihak berkuasa, bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang laporan sah mengenai kemalangan jiwa tetapi mengakui tahap piawaian bangunan di negara itu masih rendah.

Penduduk turut diberi amaran kuning oleh pihak USGS yang mendedahkan beberapa kerosakan dan kemalangan mungkin berlaku jika mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, gegaran turut dirasai di Bangladesh dan Thailand tetapi tidak mencetuskan kemalangan.

Myanmar merupakan salah sebuah negara timur yang sering dilanda bencana gempa yang mana lebih 70 nyawa melayang sebaik sahaja gempa bumi berukur 6.8 pada Skala Richter melanda kawasan sempadan negara yang berhampiran Thailand dan Laos pada Mac 2011. - AFP

No comments:

Post a Comment