Beri etnik Rohingya hak kerakyatan
PBB gesa Myanmar beri hak kewarganegaraan kepada etnik Rohingya. - Foto: Reuters
Navi Pillay
Navi Pillay - Foto: Reuters
NUSA DUA - Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay, kelmarin, menggesa Myanmar memberi kerakyatan kepada penduduk Islam Rohingya, berikutan konflik etnik yang semakin meruncing di barat negara itu.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diselesaikan segera dan undang-undang di Myanmar perlu dikaji semula kerana etnik Rohingya dikecualikan daripada proses pembaharuan negara tersebut.

"Undang-undang kewarganegaraan perlu diselaraskan untuk memastikan penduduk Rohingya mendapat hak sama rata sebagai penduduk sah negara tersebut," katanya lagi semasa di Forum Demokrasi di Bali.

Selain itu, beliau turut memberi amaran bahawa jika keganasan tersebut berterusan ia akan menghalang usaha pembaharuan Myanmar untuk menjadi sebuah negara demokrasi.

Rabu lalu, pihak berkuasa di Rakhine memaklumkan mereka mula membuat proses pengesahan taraf kerakyatan ke atas penduduk Islam di negeri itu.

Difahamkan, individu gagal mendapat hak tersebut akan dihantar ke negara lain.  - AFP