Saturday, November 17, 2012

Dua bekas Jeneral Croatia dilepas

Dua bekas Jeneral Croatia dilepas:

Ante Gotovina (kiri) dan Mladen Markac, tiba di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) bagi mendengar keputusan terhadap mereka dibacakan di The Hague, Belanda, semalam. - Reuters
THE HAGUE 16 Nov. - Tribunal Jenayah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi bekas wilayah Yugoslavia (ICTY), hari ini membebaskan dan melepaskan bekas Jeneral Croatia, Ante Gotovina dan Mladen Markac atas kesalahan melakukan jenayah perang semasa Perang Yugoslavia dari 1992 hingga 1995.
Ketika keputusan dibacakan Hakim Theodor Meron, penyokong kedua-dua pemimpin Croatia itu dilihat mengalirkan air mata sambil Markac memeluk isterinya, Mirjana, yang turut berada di kamar mahkamah.
Gotovina dan Markac, yang digambarkan sebagai hero Croatia, masing-masing dihukum penjara 24 tahun dan 18 tahun, pada tahun lalu kerana membunuh orang awam Croatia Serbia ketika perang Yugoslavia sekitar tahun 1990-an.
Namun, mahkamah mendapati sabitan awal ke atas kedua-dua pemimpin itu berdasarkan fakta palsu yang menyatakan bahawa sebarang serangan meriam yang berlaku di bandar Serbia dan lebih 200 meter dari kawasan sasaran tentera merupakan serangan terhadap orang awam.
Hakim turut menggugurkan bukti yang menyatakan 'usaha jenayah bersama yang bertujuan kekal dan menggunakan kekerasan bagi menghalau orang awam Serb dari wilayah Krajina'.
Gotovina, berpakaian suit berwarna biru muda dan bertali leher hitam pekat, mendengar dengan teliti ketika keputusan dibacakan dan kelihatan tersenyum serta berjabat tangan dengan Markac selepas keputusan diumumkan.
Penyokong kedua-dua pemimpin tersebut yang berada di luar mahkamah, turut bersorak dan menyanyikan lagu kebangsaan Croatia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121117/lu_04/Dua-bekas-Jeneral-Croatia-dilepas#ixzz2CYF2RvZw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment