Azman Mohammad
Tiga daripada empat anak Azman dan Rozita yang diraikan pada program Kembara Amal ‘Yippie’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor.
CHENOR - 'ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya dan anak itu satu amanah kurniaan paling berharga kepada pasangan suami isteri.'
Berpegang pada kata-kata itu, sepasang suami isteri di Kampung Huma Luas, dekat sini, tabah menghadapi takdir Ilahi apabila dikurniakan empat zuriat kurang upaya.
Azman Mohammad, 23, berkata, kesemua anaknya itu dilahirkan lembam, namun dia tetap bersyukur apabila mereka mempunyai sifat fizikal sempurna.
Menurutnya, kasih sayang dia dan isteri terhadap empat anaknya itu tidak pernah berkurangan walaupun sedar mereka tidak senasib pasangan lain yang menaruh harapan untuk mengecap kehidupan lebih baik ketika usia tua.
“Apa yang kami harapkan dipanjangkan usia supaya dapat menjaga mereka sehingga dewasa. Jauh sekali menyimpan hasrat untuk menumpang kemewahan selepas anak-anak bekerja kerana mereka bukan seperti rakan sebaya lain.
“Jika mereka dapat berdikari dan boleh menguruskan diri sendiri, itu sudah memadai buat kami,” katanya ketika ditemui pada program Kembara Amal ‘Yippie’ dengan 38 motosikal berkuasa tinggi, di sini.
Isterinya, Rozita Hassan, 23, berkata, anak kedua mereka, Khairul Anuar, 18, terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak selepas terlibat kemalangan tahun lalu.
Menurutnya, kecederaan pada bahagian kepala dalam insiden itu menyebabkan Anuar mengalami masalah saraf dan sendi sehingga tidak dapat berjalan.
“Walau apa yang terjadi, kami tetap akan menjaga mereka sebaik mungkin kerana mereka adalah segalanya buat kami,” katanya.