Friday, November 9, 2012

Karpal dakwa AG terpaksa tuduh dirinya

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pengerusi DAP, Karpal Singh kembali menyatakan bahawa pertuduhan terhadapnya merupakan satu pendakwaan terpilih (selective prosecution) dan dibuat akibat tekanan orang awam.
Beliau ketika menjawab soalan salah seorang peguam belanya, Gobind Singh Deo memberitahu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mendapat tekanan berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh individu dikatakan ahli UMNO.
Sedangkan, beritahu Karpal kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pegawai kerajaan itu mengetahui apa yang diperkatakan dalam sidang akhbar tersebut tidak menjurus kepada hasutan.
Peguam kanan itu juga memberitahu, debat Ahli Parlimen termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 18 dan 19 Januari 1993 yang ketika itu sedang dalam proses untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kekebalan Raja dan Sultan di negara ini lebih terjumlah kepada hasutan berbanding sidang akhbarnya.
Saksi pertama pembelaan itu kemudian membacakan hansard debat Parlimen itu yang diterima masuk sebagai bukti.
Terdahulu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menjelaskan, apa yang dimaksudkan bahawa beliau akan menyaman Sultan Perak sekiranya meneruskan tindakan melantik Menteri Besar Perak baru bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah memfailkan semakan kehakiman.
Semakan kehakiman itu akan dibuat berdasarkan Artikel 33 Undang Tubuh Negeri Perak yang menyatakan tindakan Sultan Perak pada ketika itu adalah pra-matang dan tidak mengikut perlembagaan, jawabnya.
Karpal, 72, memberi keterangan tersebut selaku saksi pembelaan pertama dalam kes beliau dituduh mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co., No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi, di sini.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal membela diri terhadap pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan beliau pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Azlina Rasdi.
Yang turut hadir pada prosiding hari ini ialah pemerhati daripada Peguam Diraja (QC) LawAsia, Mark Trowell dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 22 dan 25 Januari 2013.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121109/ma_02/Karpal-dakwa-AG-terpaksa-tuduh-dirinya#ixzz2BjjX4Wpx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment