Friday, November 9, 2012

Rumah kosong sarang penagih


Alias Ali
Rumah terbengkalai ini dibimbangi dihuni penagih dadah.
GELUGOR - Akibat dibiarkan kosong, kini beberapa rumah yang terletak berhampiran dengan Bukit Gambir dipercayai dihuni penagih dadah.
Begitulah keadaan perumahan kuarters kerajaan lama yang terletak berhampiran dengan Taman Tun Sardon dan juga Kampung Kastam.
Lebih mengecewakan apabila tiada pihak yang bertanggungjawab cuba meletakkan papan tanda larangan memasuki perumahan lama itu.
Menurut sumber, rumah-rumah berkenaan dikosongkan kerana adanya rumah pangsa yang baru untuk kakitangan kerajaan menyebabkan penduduk dari rumah itu mula berpindah.
Apa yang dikesalkan sehingga kini ia terbiar dan tidak dirobohkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, penduduk Taman Tun Sardon menyatakan kerisauan mereka berikutan sekiranya rumah terbabit tidak dirobohkan, ia mengundang orang lain yang cuba untuk mendiami rumah berkenaan.
Penduduk Taman Tun Sardon, Alias Ali berkata, dia pernah terserempak dengan beberapa kelibat orang yang memasuki rumah kosong berkenaan.
Menurutnya, kelibat itu mula kelihatan sejak rumah terbabit dikosongkan dan dia yakin mereka adalah antara penagih dadah yang sering kali menghuni tempat sedemikian untuk melepaskan gian.
“Kami tak mahu dengan adanya bangunan seperti ini ia seperti menggalakkan lagi penagih dadah berkunjung ke kawasan ini.
“Seperti yang sudah kita ketahui, sebuah lagi bangunan kosong sekitar taman ini pernah menjadi lokasi penangkapan dadah terbesar pada tahun lalu, kami sebagai penduduk tak mahu sejarah berulang kembali sekiranya benar ada penagih di dalam rumah kosong itu,” katanya.
Manakala Mohd Faisal Tarmizi, 23, pula sering kali menggunakan laluan di hadapan rumah berkenaan untuk mengunjungi gerai makan Taman Tun Sardon yang sememangnya dikenali ramai.
Katanya, hampir setiap malam dia berulang alik daripada pusat pengajian di universiti berdekatan untuk ke taman berkenaan mencari kedai makan.
Namun apa yang dibimbangkan ialah kawasan rumah terbiar itu gelap di sepanjang jalan menuju ke simpang taman.
“Risau juga jika ada orang tahan sebab saya menaiki motosikal, mana tahu tengah-tengah malam begitu tiba-tiba penagih dadah dari dalam rumah itu khayal dan kacau pengguna jalan raya, apa kami nak buat?,” katanya.

No comments:

Post a Comment