Monday, November 26, 2012

Penduduk Palestin jadi bahan kempen pilihan raya Israel


TIDAK sampai dua bulan menjelang pilihan raya umum ke-19 Israel yang dijadual berlangsung pada 22 Januari ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah mencongak-congak strategi untuk menyambung penggal pentadbirannya selama empat tahun lagi.
Netanyahu akan melakukan apa sahaja strategi, termasuk perang dan menghalalkan nyawa penduduk Palestin untuk memastikan beliau terus berkuasa.
Setiap kali pilihan raya Israel akan diadakan, pemimpin Zionis Israel akan menunjukkan 'taring’ sebenarnya dengan melancarkan operasi ketenteraan ke atas penduduk Palestin demi menarik sokongan penduduk Israel terutama mendapatkan sokongan pengundi.
Kebanyakan penganalisis melihat faktor dasar luar dan keselamatan Israel menjadi penentu sokongan pengundi kepada mana-mana calon dan Netanyahu memahami perkara itu bagi mengekalkan jawatannya.
Terbaharu, operasi ketenteraan Israel ke atas Genting Gaza selama lapan hari, baru-baru ini merupakan sebahagian daripada kempen utama pilihan raya Netanyahu cuba meraih sokongan pengundi.
Tindakan Netanyahu itu tidak menghairankan kerana kebanyakan Perdana Menteri Israel sebelum ini yang mempunyai latar belakang ketenteraan seperti David Ben-Gurion, Yigal Allon, Yitzhak Rabin, Yitzhak Shamir, Ehud Barak, Ariel Sharon dan Ehud Olmert juga pernah menggunakan strategi yang sama.
Jika diimbas kembali pada 2006, pejuang Palestin, kumpulan Hezbollah di Lebanon, yang dilabel sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menerima nasib yang sama seperti Hamas apabila operasi ketenteraan secara besar-besaran dilancarkan oleh pasukan pertahanan Israel (IDF) yang ketika itu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Ehud Olmert ke atas Hezbollah.
Alasan yang sering diguna oleh pemimpin Israel adalah untuk mempertahankan kedaulatan 'wilayah Israel' daripada serangan roket pejuang Palestin yang didakwa disasarkan ke arah penempatan Yahudi.
Kali ini Netanyahu, turut menggunakan dasar sama untuk meyakinkan rakyatnya bahawa operasi ketenteraan itu dilancarkan demi memastikan wilayah Israel dan penduduknya selamat daripada ancaman musuh.
Lebih-lebih lagi memandangkan sokongan terhadap Netanyahu dilihat sedikit merosot menjelang pilihan raya kali ini berdasarkan tinjauan terbaharu oleh akhbar tempatan, Maariv.
Tinjauan itu menunjukkan, parti gabungan Netanyahu dan Menteri Luar, Avigdor Lieberman, Likud Beitenu dijangka hanya memenangi 37 kerusi daripada 120 kerusi Parlimen yang dipertandingkan berbanding 47 kerusi yang dijangka dimenangi sebelum konflik terbaharu membabitkan Palestin-Israel tercetus.
Penurunan sokongan tersebut dikaitkan dengan 'kelembutan' Netanyahu menerima perjanjian gencatan senjata anjuran Mesir dengan kumpulan Hamas, sekali gus mengakhiri Operasi Pillar of Defense, yang menyaksikan 167 penduduk Palestin terbunuh dan lima penduduk Israel terkorban.
Penganalisis politik berkata, kumpulan-kumpulan berhaluan kanan dan pengundi dalam kalangan fanatik agama lebih menyokong operasi ketenteraan itu diteruskan. Malahan 49 peratus undian dalam tinjauan berkenaan menentang gencatan senjata antara Palestin-Israel.
‘Kegagalan’ Netanyahu dalam operasi Pillar of Defense itu, mendapat kritikan daripada seteru politiknya daripada Parti Kadima yang mendakwa keselamatan Israel tidak terjamin dan kumpulan Hamas meraikan kejayaan gencatan senjata yang dilaksanakan.
Namun, Netanyahu mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian kerana beliau lebih gemar menjadikan isu serangan ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai modal untuk meraih sokongan pengundi.
Ada penganalisis berkata, operasi ketenteraan IDF di selatan Lebanon ke atas kumpulan Hezbollah dan di Gaza menentang kumpulan Hamas, mempunyai kaitan dengan proses permulaan Israel untuk menyerang Iran.
Teori berkenaan mungkin ada kebenarannya memandangkan penduduk Israel melihat Iran sebagai ancaman terbesar mereka, ditambah dengan dakwaan Netanyahu tentang keupayaan nuklear Teheran yang sudah mencapai Tahap Merah iaitu tahap paling bahaya.
Netanyahu mempunyai dua sebab mengapa menerima gencatan senjata di Gaza, walaupun kehilangan sedikit sokongan daripada penduduk Israel, kerana Netanyahu sedar beliau berpeluang tinggi untuk memenangi pilihan raya umum Israel pada tahun depan memandangkan parti-parti pembangkang yang lemah, selain boleh menumpukan kepada rancangan untuk menyerang Iran, yang boleh menarik sokongan lebih besar daripada pengundi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121126/lu_03/Penduduk-Palestin-jadi-bahan-kempen-pilihan-raya-Israel#ixzz2DKZRaekU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment