Tuesday, December 25, 2012

11 murid mati nahas

BEIJING: Sebelas kanak-kanak mati apabila van yang mereka naiki terhumban ke dalam kolam di wilayah Jiangxi, timur China, semalam.

Kemalangan berlaku ketika van berkenaan membawa kanak-kanak ke sekolah. Semua 11 mangsa itu berusia antara empat dan enam tahun, lapor akhbar Henan Business Daily.


Menurut laporan itu, empat kanak-kanak lain, seorang guru dan pemandu, terselamat dalam kejadian yang berlaku pada sebelah pagi berhampiran bandar Guixi.

Agensi berita Xinhua yang sebelum ini melaporkan hanya tiga orang terbunuh, kemudian berkata, lapan mangsa mati selepas mereka dibawa ke hospital.


Menurut Pusat Penerangan Bagi Hak Asasi dan Demokrasi yang berpusat di Hong Kong, pasukan kecemasan mengambil masa 70 minit untuk tiba ditempat kejadian selepas penduduk tempatan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kemalangan itu.


Kumpulan berkenaan berkata, van mini itu terlebih muatan. Kapasiti maksimumnya hanya tujuh orang.

Jalan raya di China amat berbahaya dengan undang-undang trafik dan keselamatan dilanggar secara berleluasa sementara pemandu trak sering kepenatan kerana kerja melebihi masa. Kemalangan maut membabitkan kenderaan terlebih muatan juga perkara biasa.


Tahun lalu, lebih 62,000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, lapor media negara itu.

Ogos lalu, 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat merempuh belakang sebuah lori membawa metanol menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar dan hanya tiga daripada 39 penumpang bas terselamat.


Kemalangan di wilayah Shaanxi, utara China itu adalah yang paling buruk di negara itu dalam masa setahun. - AFP

No comments:

Post a Comment