Wednesday, December 19, 2012

Mogok desak parti Islam di Bangladesh dibubar



DHAKA 18 Dis. - Satu mogok besar-besaran diadakan oleh kumpulan berhaluan kiri bagi mendesak pembubaran parti-parti Islam di Bangladesh.
Mogok itu menyebabkan sekolah dan rumah kedai terpaksa ditutup serta mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk di sini hari ini.
Mogok dianjurkan oleh gabungan lima parti politik berhaluan kiri mendesak agar parti-parti Islam dibubarkan, taktik yang sering digunakan di Bangladesh untuk menyatakan tuntutan.
Bantahan itu diadakan selepas lebih 20 parti Islam di Bangladesh mahu undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini.
Kumpulan berhaluan kiri mendakwa parti Islam perlu diharamkan kerana melanggar peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Bangladesh hanya ditadbir melalui undang-undang sekular.
Kira-kira 1,000 anggota polis dan pasukan keselamatan ditempatkan di Dhaka ketika beratus-ratus penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan raya di bandar tersebut, menyebabkan kesesakan trafik yang teruk.
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini.
Stesen televisyen Somoy dan Channel-I di Dhaka melaporkan, mogok berkenaan juga menyebabkan gangguan komunikasi di kebanyakan 64 daerah di negara ini.
Gabungan parti berhaluan kiri menentang parti Islam terbesar di negara ini, Jamaat-e-Islami, yang sebelum ini berkempen menentang perang menuntut kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.
Parti Jamaat-e-Islami dituduh berkomplot dengan tentera Pakistan semasa perang selama sembilan bulan itu yang menyaksikan tiga juta penduduk Bangladesh dibunuh dan kira-kira 200,000 wanita dirogol.
Lapan pemimpin parti itu kini dibicarakan atas tuduhan melakukan pembunuhan, membakar dengan sengaja, merogol dan beberapa pertuduhan lain semasa perang tersebut.
Parti berhaluan kiri juga menuntut tribunal jenayah perang agar mempercepatkan proses perbicaraan berkenaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_07/Mogok-desak-parti-Islam-di-Bangladesh-dibubar#ixzz2FTkKw32C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment