Ikhwanul Muslimin
Ikhwanul Muslimin berjaya memegang tiga portfolio lagi dalam kerajaan Mesir. Foto: Reuters
KAHERAH - Gerakan Ikhwanul Muslimin berjaya memperkukuhkan kedudukannya dalam kerajaan Mesir susulan daripada rombakan terbaru Kabinet yang menyaksikan ahli mereka memegang tiga portfolio lagi, menurut akhbar al-Shuruk, kelmarin.

Kementerian Pengangkutan, Pembangunan Domestik dan Bekalan dilaporkan telah diletakkan di bawah tanggungjawab gerakan Islam itu.

Lapan daripada 35 menteri diketuai oleh Perdana Menteri, Hisham Qandil juga terdiri daripada ahli Gerakan Ikhwanul Muslimin yang kekal menerajui Kementerian Maklumat dan Perumahan.

Selain itu, Menteri Kewangan baru, al-Sayyed Hegazi yang juga pakar dalam bidang akademik kewangan Islam turut dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan gerakan Islam tersebut walaupun beliau bukan ahli organisasi berpengaruh itu.

Difahamkan, pelantikan 10 menteri baru tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati media dan beberapa parti.

Ahli parti berhaluan kiri, Rifaat al-Said menyifatkan rombakan itu kononnya sebagai 'cengkaman' Ikhwanul Muslimin terhadap kerajaan Mesir.

Dalam kenyataan balas, Presiden Mohammed Mursi menganggap kritikan tersebut sebagai satu cabaran dan beliau menggesa kerajaan baru itu untuk menggandakan usaha bagi menangani krisisekonomi di Mesir. - Middle East Online