Hamid Karzai
Hamid Karzai bersama Obama.
WASHINGTON - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai akan terus menerajui negara itu sehingga akhir penggal kedua pada 2014 sebelum ruang kepada rakyat negara itu untuk memilih pemimpin baru.

“Sebelum saya berundur saya ingin melihat rakyat Afghanistan bebas tanpa diganggu mana-mana pihak, pentadbiran yang telus dan mereka bebas melaksanakan pilihan raya untuk memilih presiden baru,” katanya.

Menurutnya, selepas bersara, beliau berjanji tidak akan campur tangan dalam apa juga perihal dalam kerajaan mahupun berbincang dengan rakan sekutunya.

“Saya tidak mahu diganggu selepas bersara dan tidak mahu memikirkan masalah dalaman negara yang selama ini membebankan penduduk Afhanistan," katanya ketika berucap semasa pertemuan beliau bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Rumah Putih, semalam.

Karzai menerajui Afghanistan sejak 2004 dan dipilih semula pada tahun 2009, dalam dua undi yang dicemari dakwaan penipuan pilihan raya. - AFP