Bashar Al-Assad
Assad sewaktu berucap di Opera House, kelmarin.
DAMSYIK - Kumpulan pembangkang Syria, dilapor menolak inisiatif damai yang diumumkan Presiden Bashar Al-Assad termasuk persidangan damai kebangsaan kerajaan baru dan perlembagaan.
Assad berucap buat kali pertama sejak Jun tahun lalu, di dewan Opera House, kelmarin.

Beliau menggesa negara Barat berhenti dari menyalurkan dana serta bantuan senjata kepada pemberontak.

Assad berkata, pihaknya kini bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana 'pihak yang bukan pengkhianat Syria'.

Sementara itu, jurucakap blok pembangkang Perikatan Nasional Syria, Louay Safi berkata, mereka menganggap ucapan Assad sebagai retorik dan kosong.

"Beliau tidak mengaku mahu meletakkan jawatan yang menjadi salah satu syarat utama kepada sebarang rundingan.

"Malah, Assad menunjukkan sifat diktatornya yang nyata sekali tidak boleh dibawa berunding. Kami berfikir beliau langsung tiada niat untuk berundur.

"Assad lebih berkeinginan untuk menghancurkan pembangkang dan bercita-cita menerajui Syria untuk 40 tahun akan datang," kata Safi.

Kepimpinan pembangkang pula berulang kali menyatakan pihaknya tidak akan menerima apa juga cadangan melainkan Assad digulingkan.  - Al-Jazeera