Thursday, January 17, 2013

Universiti Aleppo diserang, 87 pelajar terkorban



Pasukan keselamatan Syria dan penduduk berkumpul di kawasan Universiti Aleppo yang menjadi sasaran dua letupan, kelmarin. Sekurang-kurangnya 87 orang terbunuh dalam kejadian itu ketika para pelajar sedang menduduki peperiksaan. - REUTERS
DAMSYIK 16 Jan. - Letupan berkembar di sebuah universiti di Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria, semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 87 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, ketika pelajar sedang menduduki peperiksaan hari pertama.
Tentera kerajaan dan pemberontak, bagaimanapun saling menyalahkan antara satu sama lain dalam insiden itu, yang berlaku di utara bandar itu, yang dikuasai kerajaan.
''Setakat ini, sebanyak 87 kematian direkodkan dengan lebih 160 lagi cedera dalam satu serangan yang menjadikan pelajar Universiti Aleppo yang sedang menduduki peperiksaan sebagai sasaran,'' kata Gabenor Mohammed Wahid Akkad ketika dihubungi AFP.
Aktivis pemberontak berkata, jet tentera kerajaan melancarkan serangan udara di bandar itu, manakala jurucakap tentera mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak tersasar dan mengenai universiti itu.
Stesen televisyen Syria, pula melaporkan 'pengganas telah melancarkan dua serangan roket ke atas' bangunan universiti.
Agensi berita SANA melaporkan kebanyakan mangsa merupakan pelajar dan pelarian.
Universiti itu turut menempatkan kira-kira 30,000 pelarian Syria ekoran pemberontak menguasai kebanyakan kawasan perumahan di Aleppo sejak Julai lalu.
Sementara itu, pemantau has asasi yang beribu pejabat di Britain itu melaporkan, setakat semalam, sekurang-kurangnya 152 orang terbunuh di Syria dengan 128 daripada mereka merupakan orang awam.
Katanya, berpuluh-puluh orang lagi terbunuh atau cedera setelah tentera Syria menyerang kedudukan pemberontak berhampiran sebuah akademi tentera di tengah wilayah Homs. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130117/lu_04/Universiti-Aleppo-diserang-87-pelajar-terkorban#ixzz2IFCYsSQx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment