Saturday, February 23, 2013

3 militan Selatan Thai serah diri di Tak Bai



Bangkok: Tiga militan yang mengaku bersembunyi di Malaysia dan terbabit dalam pemberontakan di selatan Thailand, menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam.

Polis berkata, Rosalee Masa, Mahadee Durae dan Arwae Leelawae, percaya kepada janji kerajaan untuk memberikan perbicaraan adil atas tindakan mereka sebelum ini. Ketiga-tiga suspek berasal dari Tak Bai di Narathiwat.


Penyerahan diri Rosalee, 31, Mahadee, 30 dan Arwae, 31 disambut Ketua Daerah Tak Bai, Somsak Sitthivorakarn; Ketua Polis Daerah Tak Bai, Prayong Kotesaka dan Komander Pasukan Khas 36, Wutthaya Chantamas.

Pemberontak itu berkata, mereka menyerah diri kerana bosan terpaksa terus bersembunyi daripada pihak berkuasa.


Rosalee berkata, mereka mula bersembunyi di Malaysia sejak lima tahun lalu. “Sudah lama saya mahu menyerah tetapi tiada peluang. “Saya gembira kerana dapat kembali bersama keluarga semula kerana hidup dalam buruan amat menyeksakan diri sendiri.


“Tiada tempat yang boleh menyediakan kehidupan menggembirakan kepada saya seperti di Thailand,” katanya. Rosalee turut meminta maaf atas apa yang berlaku pada masa lalu.

Namun, katanya, dia percaya jika pihak berkuasa memberi peluang, dia akan mendapat layanan adil. “Ada 27 pemberontak tinggal di Malaysia dan mahu kembali menyerah diri tidak lama lagi tetapi belum cukup yakin dengan layanan yang akan diberikan,” katanya. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment