Saturday, February 23, 2013

‘AS talam dua muka’



Russia semalam menuduh AS mengamalkan sikap talam dua muka dalam isu Syria dan menyalahkan Washington kerana menghalang kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengutuk serangan bom kereta di Damsyik.

Serangan bom di lebuh raya sibuk kelmarin membunuh 60 orang dan merosakkan bangunan Kedutaan Russia di Damsyik. Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata Moscow kecewa kerana tindakan pengganas di Syria tidak dikutuk akibat pendirian AS. “Kami percaya Washington bersikap talam dua muka dan sangat berbahaya bagi AS apabila mereka meninggalkan prinsip asas untuk mengutuk sebarang tindakan pengganas yang menyatukan komuniti antarabangsa menentang keganasan,” katanya. Seramai 90 orang terbunuh dalam empat serangan bom di sekitar Damsyik kelmarin, menjadikan ia antara hari paling berdarah di ibu negara Syria itu sejak rejim Presiden Bashar al-Assad diasak rakyatnya hampir dua tahun lalu. Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, selain 60 orang yang maut dalam letupan bom berhampiran Kedutaan Russia itu, banyak lagi mangsa terbunuh dalam tiga letupan terancang di Barzeh.


PBB berkata, 70,000 orang terbunuh di Syria sejak negara itu terjerumus dalam konflik.

No comments:

Post a Comment