Monday, February 18, 2013

Kumpul RM20,000 untuk penduduk Gaza



Kajang: Sejumlah RM20,000 berjaya dikutip pengurusan Surau An Nur, Country Heights Kajang, dekat sini, untuk membantu meringankan penderitaan saudara seagama di Gaza selain disumbangkan untuk program pembangunan semula di sana.

Ia hasil sumbangan penduduk di sekitar kawasan itu yang prihatin dengan nasib menimpa penduduk Gaza bersama badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) membangunkan semula kawasan terjejas akibat pergolakan berkenaan.


Pengarah Negara IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, selain dana itu, pihaknya turut menerima sumbangan persendirian iaitu tajaan berjumlah RM5,000 untuk dua anak yatim dikenali Al Yateem di Gaza selama setahun.

Katanya, semua sumbangan itu diuruskan IRM cawangan Palestin yang menyelia semua sumbangan untuk disalurkan selain mengaudit kesan pengeboman di kawasan ditaja sebelum ini bagi menilai jumlah bantuan diperlukan.


“Berdasarkan tinjauan yang dibuat di sana akhir tahun lalu, kami dapati masih banyak perkara perlu dibantu terutama dari aspek pembangunan semula, pendidikan serta perlindungan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya pada majlis penyerahan dana itu, semalam.


Pada majlis itu, IRM mengajak orang ramai membantu sebagai tanda sokongan dan bantuan berterusan kepada mereka di Gaza, termasuk penajaan lebih ramai anak yatim yang kurang bernasib baik berikutan konflik di sana.

No comments:

Post a Comment