Thursday, February 21, 2013

Pusat kawalan penentang Syria diserang di Damsyik




SEORANG lelaki (kiri) menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap di dalam rumah yang musnah akibat serangan peluru berpandu di kawasan perumahan al-Myassar, Aleppo semalam.



DAMSYIK - Sebuah peluru berpandu mengenai pusat kawalan pihak penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad dekat sini semalam dengan menyebabkan ketuanya cedera, kata beberapa aktivis.
Mereka berkata, serangan peluru berpandu itu mengenai kumpulan penentang Briged Liwa Al-Islam sekali gus menjejaskan usaha untuk menjatuhkan rejim Bashar.
Briged tersebut mengetuai serangan di sini sejak tiga minggu lalu.
Serangan tersebut membolehkan pihak penentang bertapak di ibu kota Syria tersebut.
Seorang jurucakap penentang memberitahu, pengasas briged berkenaan, Sheikh Zahran Alloush telah cedera tetapi enggan memberikan butiran lanjut.
"Kami tidak dapat mendedahkan keadaan Sheikh Zahran," kata jurucakap berkenaan, Islam Alloush yang juga sepupunya.
Dalam pada itu, beberapa aktivis dan media pemerintah Syria melaporkan sebutir bom mortar mengenai Stadium Tishreen di pusat bandar raya ini dengan menyebabkan seorang pemain kelab bola sepak tempatan, Al-Wathba terbunuh.
Sementara itu, sebuah jet tentera Syria membedil sebuah kawasan perumahan al-Myassar, Aleppo semalam.
Dalam kejadian itu, sebuah keluarga terpaksa diselamatkan oleh beberapa penduduk selepas bangunan kediaman mereka musnah.
Penentangan antara penduduk tempatan terhadap tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang dianggap gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2LTrhTmtu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment