Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor hari ini menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air untuk mengambil alih industri perkhidmatan air negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat tawaran kepada syarikat konsesi terbabit akan dikeluarkan petang ini menerusi anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"Surat tawaran tersebut saya telah tandatanganinya.

"... ia akan dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang ini.

"Empat syarikat terbabit ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) petang ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor di
Pejabat Kerajaan Negeri, hari ini.

Ditanya jika mana-mana syarikat konsesi terbabit enggan malah menolak tawaran Kerajaan Negeri, beliau berkata mereka boleh membawa hal tersebut kepada arbitari antarabangsa.

"Jika mereka tak berpuas hati dengan tawaran kami, mereka boleh kemukakan tuntutan itu kepada arbitari antarabangsa.

"... sekiranya mereka tolak tawaran tersebut bermakna mereka telah menolak tawaran rakyat Selangor," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri memberikan tempoh selama 14 hari kepada empat syarikat konsesi terbabit untuk menerima tawaran tersebut.

Beliau bagaimanapun akur syarikat konsesi terbabit perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam masa terdekat bagi mendapatkan persetujuan sebelum tawaran itu diterima.

"Ada sesetengah syarikat itu yang saham mereka diniagakan di pasaran saham.

"...jadi mereka perlu panggil EGM untuk lihat tawaran itu sama menguntungkan atau sebaliknya," jelasnya.

Katanya lagi sekiranya pengambilalihan itu berlaku, syarikat konsesi terbabit akan menikmati pulangan ekuiti yang menguntungkan.

Manakala semua aset dan liabiliti syarikat konsesi terbabit akan diambil alih oleh anak syarikat kerajaan negeri, KDEB menerusi "Special Purpose Vehicle".

"Kita yakin tawaran ini tidak akan merugikan syarikat-syarikat berkenaan.

"...ini kerana mereka akan memperoleh pulangan sebanyak 12 peratus setahun terhadap ekuiti yang mereka miliki," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tempoh selama 14 hari kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih industri perkhidmatan air di negeri itu.