􀀳􀁂􀁌􀁚􀁂􀁕􀀁􀁕􀁐􀁍􀁂􀁌􀀁􀀮􀁖􀁓􀁔􀁊
Istana Presiden menjadi sasaran dalam keganasan terbaru di Kaherah, kelmarin. - FOTO: REUTERS
KAHERAH - Ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri laluan di Kaherah, Pelabuhan Said dan Alexandria menuntut Presiden Mohammed Mursi meletak jawatan.

Bagaimanapun, demonstrasi itu bertukar ganas hingga menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh selepas pertempuran tercetus antara penentang Mursi dan pihak berkuasa berhampiran Istana Presiden, kelmarin.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, kira-kira 79 penunjuk perasaan juga cedera dalam insiden keganasan tersebut.

Kementerian itu turut memohon maaf atas tindakan pihak berkuasa yang terpaksa menggunakan kekerasan selepas keadaan semakin tidak terkawal.

Dalam satu kenyataan, Mursi menegaskan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk melindungi bangunan kerajaan selepas kediaman presiden menjadi sasaran bom petrol semasa kejadian tersebut.

Sementara itu, Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) menafikan kumpulan pembangkang bertanggungjawab terhadap keganasan terbaru tersebut walaupun mereka didakwa menjadi penganjur perhimpunan besar-besaran terbabit. - Al Jazeera