Tuesday, February 26, 2013

Syria sedia berunding



Moscow: Menteri Pertahanan semalam berkata, Syria bersedia mengadakan rundingan dengan pejuang antikerajaan bersenjata tetapi kerajaan tetap meneruskan perjuangannya “menentang keganasan.”

Kata Walid al-Moualem, Damsyik bersedia berdialog dengan sesiapa saja yang mahukan proses itu dijalankan, termasuk pihak yang “memiliki senjata api di tangan mereka.” “Kami bersedia kerana kami percaya reformasi tidak boleh dicapai melalui pertumpahan darah, sebaliknya hanya melalui dialog,” katanya kepada agensi berita Itar-Tass.


Itar-Tass tidak melaporkan komen lanjutan daripada Walid dan tidak menyatakan jika dia ada menetapkan sebarang syarat bagi memulakan dialog. Kata Walid, apa yang berlaku di Syria adalah perang ke atas keganasan. “Kami sangat mematuhi jalan keamanan dan menentang keganasan,” katanya. Kenyataan Walid itu adalah isyarat paling jelas setakat ini ditunjukkan Damsyik setakat ini untuk berunding dengan pejuang yang cuba menggulingkan Presiden Bashar al-Assad. Perang saudara di Syria sejak hampir dua tahun lalu kini mengorbankan kira-kira 70,000 orang. Sementara itu, ketua kumpulan pembangkang Gabungan Kebangsaan Syria, Moaz al-Khatib, berkata pihaknya belum dihubungi Damsyik mengenai sebarang cadangan rundingan.

Bagaimanapun, Moaz berkata, dia menunda lawatannya ke Russia dan AS sehingga mereka dapat “melihat perkembangan selanjutnya.” Beberapa minggu lalu, kerajaan Syria dan pembangkang membayangkan mereka bersedia untuk berhubung - langkah yang lebih lembut berbanding pendirian keras kedua-dua pihak sebelum ini.


Namun, pembangkang berkata, sebarang penyelesaian politik kepada krisis Syria mesti berasaskan kepada penyingkiran Bashar. Damsyik pula menolak sebarang prasyarat rundingan. - Reuters

No comments:

Post a Comment