Monday, April 15, 2013

Air percuma antara tawaran PR kepada rakyat Johor



Harakahdaily,15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Johor kelmarin melancarkan manifesto antara lain menawarkan 10 meter padu air percuma kepada pengguna domestik negeri itu jika diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Manifesto yang dimuatkan dalam buku setebal 24 muka surat itu juga turut menawarkan pengurangan cukai harta bagi kediaman kos rendah dan sederhana serta penurunan kadar cukai tanah.

Manifesto bertemakan Johor Maju dan Berkebajikan itu dilancarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sebuah hotel di sini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, Pengerusi DAP Johor Dr. Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Selain itu, turut ditawarkan Skim Takaful Warga Emas sebanyak RM2,500 dengan wang tersebut diberikan kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

Bagi anak yang dilahirkan di Johor pula mereka akan diberikan bayaran RM100 dan apabila mencapai usia 18 tahun, mereka akan mendapat bayaran RM1,500.

Tawaran lain yang dikemukakan ialah bantuan RM1,000 untuk anak kelahiran Johor yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan menyediakan Tabung Anak Muda Sejahtera bagi program pembangunan belia niaga.

Pakatan juga komited untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dalam masa dua tahun kepada rakyat negeri ini termasuk mewujudkan projek Ladang Sejahtera.

Gaji minima RM1,100 sebulan untuk kakitangan kerajaan negeri juga akan diperkenalkan, serta menghapuskan kompaun letak kereta tertunggak serta perkhidmatan WiFi percuma di bandar utama.

Tempoh perkhidmatan jawatan Menteri Besar dua penggal akan diperkenalkan dengan mengutamakan aspek keadilan, integriti dan akauntabiliti.

Selain itu, polisi Satu Keluarga Satu Rumah, mewujudkan tabung untuk ibu tunggal dan ibu tinggal dengan menyediakan bantuan modal pusingan dan menawarkan RM1,000 bagi setiap pasangan yang menyertai majlis perkahwinan berkelompok bagi semua kaum.http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18297-air-percuma-antara-tawaran-pr-kepada-rakyat-johor

No comments:

Post a Comment