Monday, April 15, 2013

AS komited bantu Jepun hadapi ancaman Pyongyang




KERRY (kiri) berjabat tangan dengan Kishida di Rumah Tetamu Iikura, Tokyo semalam.


TOKYO - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry semalam memberitahu Jepun bahawa AS akan melindungi negara itu daripada serangan Korea Utara.
Beliau membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida di sini.
Beberapa pelancar peluru berpandu Patriot telah diletakkan di Kementerian Pertahanan Jepun di sini sebagai persediaan untuk menghadapi serangan daripada rejim Pyongyang.
"Pihak AS komited sepenuhnya untuk mempertahankan Jepun," kata Kerry pada sidang akhbar bersama Koshida di sini.
Kenyataan Kerry tersebut dibuat selepas agensi berita Korean Central News Agency menyatakan pada Jumaat lalu bahawa sebarang percubaan Jepun untuk menembak jatuh peluru berpandu milik Korea Utara akan menyebabkan negara matahari terbit itu akan menjadi sasaran serangan nuklear.
Kerry kini dalam lawatannya ke Asia selama 10 hari.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengadakan pertemuan dengan Kerry pada hari ini.
Terdapat spekulasi bahawa Korea Utara akan melancarkan sebuah peluru berpandu pada hari ini.
"Kerajaan akan melakukan yang paling terbaik untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyat Jepun," kata Abe kepada pemberita di Iwo To semasa beliau menghadiri majlis memperingati askar-askar Jepun yang terkorban dalam peperangan.
Korea Utara sebelum ini mengancam untuk melancarkan perang nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sekatan barang mewah ke negara itu pada bulan lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2QTkYdjkV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment