Sunday, April 28, 2013

Allahyarham Shaharuddin naik gred Jusa A



DENGKIL: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak Jumaat lepas, dinaikkan gred daripada Jusa B kepada Jusa A.


Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa menziarahi keluarga Allahyarham di Dengkil hari ini.


Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta calon Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib berkata, dengan kenaikan gred tersebut, bererti faedah gratuiti dan pencen tahunan yang akan diterima balu Allahyarham juga bertambah.
"Dalam menjalankan tugas demi kepentingan negara maka kerajaan mengambil keputusan menaikkan gred Allahyarham daripada Jusa B kepada Jusa A.

"Ia sebagai pengiktirafan kerajaan untuk pengorbanan mutlak dilakukan Allahyarham sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan yang gigih serta berdedikasi dalam menjalankan tugas demi negara," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham.

Dengan keputusan itu, beliau berharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa sedih dan beban keluarga.

Allahyarham Shaharuddin, 58, mati ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lepas.

Pada masa sama, Najib berharap semua petugas Kastam akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas.

Katanya mungkin ada beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengelak menjadi sasaran mereka yang berniat jahat.

"Saya juga sudah minta pihak polis lakukan siasatan rapi dan segera serta mahu kes itu dapat diselesaikan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.

No comments:

Post a Comment