Bernard Dompok
Bernard Dompok
PENAMPANG - Cadangan tiga parti Kadazandusun Murut agar kad pengenalan (KP) diambil kembali dan dikeluarkan semula hanya kepada rakyat Malaysia tulen di Sabah bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan, kata presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok.

Bagaimanapun beliau mengaku pelaksanaan cadangan itu akan melibatkan banyak kesulitan, termasuk daripada segi keperluan  mengkaji pelbagai undang-undang berkaitan.

"Prosesnya memang rumit. Tapi, sekiraya kita sama-sama mencari jalan mengenainya, ia boleh dilakukan. Kami rasa cadangan ini  boleh membantu menangani status kewarganegaraan kita (rakyat Sabah) di negara ini, terutama bagi mereka yang layak mendapatnya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program "Selangkah Ke Menara Gading" anjuran Universiti  Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Dompok berkata sebelum ini banyak perubahan telah dilakukan mengenai Kad Pengenalan dan jika satu lagi perubahan dilakukan,  ia perlulah memastikan sama ada seseorang pemegang Kad Pengenalan atau MyKad itu merupakan warganegara yang sah.

Pada 24 Mac, Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, pertama kali menyuarakan cadangan tersebut  dan kemudiannya mendapat sokongan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah, dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup, yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat  Sabah (PBRS).

Mereka sependapat bahawa cadangan itu perlu dikemukakan untuk perhatian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai  pendatang tanpa izin di Sabah.

"Saya juga ingin mengemukakannya (cadangan) kepada kerajaan persekutuan sekiranya ia tidak mendapat perhatian RCI.  Kemudian, kami akan bergerak dari situ," katanya.

Dompok berkata beliau yakin majoriti rakyat Sabah mahu masalah berkaitan kewarganegaraan di negeri ini diselesaikan dan  cadangan itu boleh menjadi penyelesaiannya. - Bernama