Tuesday, April 2, 2013

Petugas p'raya KEADILAN Lembah Pantai diugut samseng, khemah diroboh


Apr 1 2013 / Keadilan Daily
(Oleh Aisha Geoffrey)

PANTAI DALAM 1 APRIL: Satu lagi siri keganasan politik berlaku di Lembah Pantai apabila petugas pilihan raya KEADILAN Parlimen itu diugut sekumpulan samseng dan khemah mereka diceroboh serta dimusnahkan.

Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi Lembah Pantai, Siti Mariam Mohd Aly berkata, pada 26 Mac lalu, beliau bersama tiga petugas di khemah Taman Sri Sentosa Utara didatangi dua lelaki dan mengancam mereka.

"Mereka ugut supaya jangan aktif di kawasan tersebut dan cepat cabut khemah," kata Mariam kepada Keadilan Daily.

Menurutnya, samseng tersebut kemudian datang semula ke kawasan khemah berkenaan keesokan hari bersama enam lagi rakannya dengan empat motosikal.

Mereka turut diiringi sekumpulan samseng yang menaiki dua kereta dan sebuah teksi.

"Mereka cabut bendera, rampas risalah, patahkan kaki khemah dan maki hamun kami dengan kata-kata kesat. Turut dirampas sebuah Samsung Galaxy Note," jelasnya.

Mariam membuat laporan polis berhubung insiden itu pada 28 Mac, dan diminta membuat kawad cam terhadap samseng tersebut.

"Polis kemudian periksa kawasan kejadian. Apa yang menghairankan, polis suruh kami dirikan khemah jauh dari situ kerana tapak khemah tersebut berdekatan khemah BN.

"Kami was-was kenapa polis arahkan demikian sedangkan kami tak buat kacau, malah kami yang diserang," kata Mariam.

Pada hari yang sama, salah satu bilik operasi KEADILAN di kawasan Jalan Kurau, Bangsar dipecah masuk. Barang-barang seperti kayu bendera dicuri dan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM20,000.

Pada 29 Mac pula, seorang petugas pilihan raya di Jalan Kampung Kerinchi Kiri mengalami kecederaan akibat diserang samseng dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala.

Selain itu, papan iklan Ahli Parlimen Lembah Pantai bertajuk 'Berani Kerana Benar' yang dipasang di Lebuh Raya Persekutuan turut dirosakkan pada 12 Mac lalu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen kawasan tersebut, Nurul Izzah Anwar mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedaya mungkin memastikan insiden keganasan politik tidak berulang.

"Semua parti komponen tidak kira dari BN atau Pakatan Rakyat harus menolak politik ganas dan perlu memastikan tiada lagi insiden sebegini," katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen beliau di Pantai Dalam, hari ini.

Pelbagai insiden keganasan berlaku di Lembah Pantai sejak 2012. Antaranya sukarelawan dari pejabat Parlimen Izzah menjadi mangsa intimidasi sewaktu membuat tinjauan pengundi di kawasan perumahan pada Mac dan 'Malam Berdarah' Lembah Pantai pada Mei menyaksikan penyokong ceramah Pakatan Rakyat cedera diserang.

Manakala aktivis mahasiswa, Adam Adli turut menjadi mngsa apabila ditumbuk di Kerinchi pada April.

"Justeru, Hishammuddin perlu sedaya mungkin dalam bidang kuasa beliau memastikan insiden-insiden keganasan tidak berulang. Mereka yang dibuktikan terlibat wajib dibawa ke muka pengadilan serta-merta," tegas Izzah. - NS

No comments:

Post a Comment