Wednesday, April 17, 2013

Samseng politik meningkat



Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan aktiviti samseng politik akan meningkat sepanjang tempoh kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ini berikutan laporan diterima PDRM sejak beberapa hari lalu menjurus kepada gejala yang tidak sihat sedang berlaku di beberapa negeri membabitkan samseng politik.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata setakat ini pihaknya menerima dua laporan membabitkan samseng politik yang masing-masing berlaku di Perak dan Selangor, kelmarin.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi di Seri Iskandar, Perak, kelmarin sebuah markas parti politik dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab, manakala di Klang, sebuah rumah dibaling bom petrol.

Samseng politik

“Pihak polis masih menyiasat kedua-dua kes berkenaan dan tidak menolak ia ada kaitan dengan samseng politik,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, samseng politik sama ada mereka diupah mahupun disebabkan faktor ketaksuban terhadap parti masing-masing tidak sepatutnya bertindak sehingga mencetus keganasan kerana mereka terikat dengan undang-undang negara.
“Samseng politik ini yang mewakili mana-mana parti politik perlu ingat bahawa undang-undang bukan berada di tangan mereka,” katanya.

Tidak berceramah berbaur hasutan

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap ahli politik agar tidak berceramah berbaur hasutan serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama sehingga boleh membangkitkan perasaan kebencian sepanjang tempoh berkempen.

Ramli berkata, setiap ahli politik dan penceramah yang mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya sewajarnya berkempen secara berhemah dan menerangkan apa yang mereka akan laksanakan kepada rakyat melalui manifesto parti masing-masing.

Sementara itu, PDRM memberi amaran kepada semua parti politik yang bertanding agar tidak memasang bendera parti atau menampal poster calon yang akan bertanding pada PRU13 di kawasan balai polis.

“Kami (PDRM) adalah berkecuali dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment