Saturday, May 11, 2013

Lebih banyak kapal selam diperlu



KAPAL selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
KUALA LUMPUR 10 Mei - Malaysia memerlukan lebih banyak kapal selam untuk beroperasi secara efektif dalam mengawal kedaulatan negara terutama di Laut China Selatan yang luas, kata bekas Panglima Tentera Laut Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.
Beliau berkata, untuk menjadi sebuah angkatan laut yang berjaya dan berkesan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan enam kapal selam atau sekurang-kurangnya tiga buah.
Malaysia kini memiliki dua kapal selam Scorpene yang berpangkalan di Teluk Sepanggar, Sabah.
"Sampai masa ada kapal yang terpaksa menjalani pembaikan atau servis yang akan memakan masa berbulan-bulan, kalau setakat dua buah kapal, ini akan mengganggu operasi tentera laut," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pembinaan armada kapal selam yang membabitkan beberapa negara serantau seperti Malaysia, Vietnam dan Indonesia.
Singapura baru-baru ini memasukkan kapal selam terpakai dari kelas Archer untuk berkhidmat di samping empat kapal selam dari kelas terpakai Challenger.
Mohd. Anwar berkata, contoh terbaik bagi menghadapi masalah itu ialah pembelian enam kapal perang Gowind oleh TLDM.
Blogger pertahanan, militaryofmalaysia.net yang hanya mahu dikenali sebagai Shahpaskal memberitahu operasi kapal selam tidak sesuai di Selat Melaka kerana lautnya cetek dan mempunyai banyak gangguan sonar.
"Tidak ada kapal selam yang berani menyelam di Selat Melaka. Jika terdapat sebarang konflik dengan tujuan menutup selat itu daripada laluan perkapalan, ia akan berlaku di kawasan Laut China Selatan atau di Teluk Bengal dan Laut Andaman," katanya.
Beliau berkata, umumnya orang ramai keliru dan beranggapan kapal selam hanya mampu menembakkan torpedo serta melancarkan komando dan periuk api.
"Kapal selam merupakan senjata yang paling efektif, ia boleh menjadi aset pengintipan untuk tugas Sigint dan Elint (Signal Intelligence dan pengintipan elektronik) yang berkesan...ini disebabkan Malaysia tidak mempunyai kapal pengintipan elektronik yang dedikasi seperti yang ada di negara maju," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130511/dn_07/Lebih-banyak-kapal-selam-diperlu#ixzz2SwgZcHNB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment