Thursday, May 9, 2013

Mohd Khaled menghadap Sultan Johor, majlis angkat sumpah MB dijangka minggu depan

 Mohd Khaled menghadap Sultan Johor, majlis angkat sumpah MB dijangka minggu depanAnggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melambai tangan kepada pihak media selepas mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di
JOHOR BAHARU - Bakal Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengangkat sumpah minggu depan bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) setelah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
  
Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu dititah menghadap di Istana Pasir Pelangi dan antara perkara yang dibincangkan dengan Sultan Ibrahim ialah penentuan tarikh angkat sumpah menteri besar dan senarai barisan Exco.
  
Bercakap kepada pemberita kira-kira sejam kemudian, Mohamed Khaled berkata beliau dititahkan Sultan Ibrahim supaya meneliti senarai barisan exco kerajaan negeri sebelum sekali lagi menghadap baginda bagi mempersembahkan calon-calon yang bakal dilantik.
  
"Di Johor, majlis angkat sumpah menteri besar dilakukan bersama-sama barisan exco. Jadi, ia akan mengambil masa sedikit," katanya yang akan menyelesaikan senarai barisan itu dalam minggu ini.
  
Turut hadir, Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Mohamed Khaled berkata exco kerajaan Johor akan dibarisi 10 orang anggota yang melibatkan tujuh wakil Umno, dua daripada MCA dan satu MIC.
  
Bagaimanapun beliau akan mendapatkan kepastian terlebih dahulu daripada pihak MCA sama ada mahu meletakkan wakilnya kerana komponen itu sudah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan atau negeri selepas kalah teruk dalam pilihan raya ini.
   
Menurut Mohamed Khaled, Sultan Ibrahim banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada beliau semasa majlis menghadap itu terutama berhubung senarai exco yang bakal dilantik.
  
"Tuanku mahu orang yang boleh bekerja dan memikirkan hal kepentingan rakyat Johor, supaya rakyat menerima perkhidmatannya sebaik mungkin," katanya.
  
Ditanya mengenai Dun Johor yang agak mencabar selepas ini dengan adanya 18 kerusi pembangkang, beliau berkata tiada apa yang perlu dikhuatirkan sekiranya wakil Barisan Nasional menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Mohamed Khaled pada pilihan raya itu memenangi kerusi Dun Permas selepas menewaskan calon Pas Syed Othman Syed Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.
  
Barisan Nasional kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi DuN.
  
Daripada 18 DuN yang dimenangi pembangkang, 14 daripadanya DAP, tiga (Pas) manakala satu daripada PKR. - Bernama

No comments:

Post a Comment