Thursday, May 9, 2013

Polis akan ambil tindakan terhadap penganjur Perhimpunan 508



Petaling Jaya: Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur Perhimpunan 508 atas dua kesalahan utama yang menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) dan Akta Hasutan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi BH berkata, siasatan mendapati notis pemberitahuan hanya dihantar semalam, beberapa jam sebelum perhimpunan berlangsung.
Beliau berkata, secara automatik ia melanggar peraturan ditetapkan di bawah Seksyen 9 (5) APA 2012 yang mewajibkan notis itu dihantar dalam tempoh sepuluh hari menjelang tarikh acara.

"Polis turut mengesan ucapan berbaur hasutan diberikan beberapa pemimpin politik semasa perhimpunan itu berlangsung.

"Untuk itu, kita akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan," katanya.

Tun Hisan juga berkata, pihak polis sebelum ini telah meminta penganjur mengangguhkan acara berkenaan ke satu tarikh lain.

"Kita dah minta mereka tangguh ke satu tarikh lain, namun mereka tetap berdegil. "Ini membuktikan mereka gagal mematuhi peraturan demi keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Tinjauan BH mendapati laluan di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) di kedua-dua hala berhampiran Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sesak teruk berikutan tindakan peserta yang meletakkan kenderaan sesuka hati.

Mereka turut membuat provokasi dengan mengutuk kerajaan dan mengibarkan bendera-bendera parti pembangkang.

No comments:

Post a Comment