Thursday, May 23, 2013

Penalti untuk wakil rakyat


JAKARTA 22 Mei - Kegagalan 172 daripada 560 Ahli Parlimen Indonesia menghadiri sidang parlimen di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Selasa lalu mencetus kebimbangan masalah disiplin dalam kalangan wakil rakyat.
Ironinya, jumlah kehadiran yang disifatkan sangat menyedihkan itu berlaku seminggu selepas Badan Kehormat (BK) DPR menyiarkan senarai nama ahli-ahli
Parlimen yang kehadiran mereka di bawah skala 50 peratus antara November dan Disember tahun lalu.
Pendedahan nama wakil rakyat yang kehadiran mereka di bawah 50 peratus itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan anggota DPR.
“Selagi DPR tidak mengenakan hukuman penalti yang jelas, maka selama itu akan berlaku budaya ahli Parlimen tidak menghadiri sidang Parlimen," kata pemerhati politik daripada Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) Siti Zuhro.
Beliau menegaskan, cara paling efektif untuk mengawasi anggota DPR yang kerap ponteng sidang ialah mewajibkan kehadiran mereka dengan memperkenalkan polisi yang jelas.
“Bila anggota (DPR) tidak hadir harus ada surat. Misalnya bila sakit ada surat pengesahan sakit daripada doktor panel DPR bagi memastikan kesahihan surat berkenaan.
“Seandainya kegagalan hadir disebabkan masalah lain setiap pimpinan parti politik yang diwakili mereka harus mengeluarkan surat pemberitahuan sebab kegagalan anggota ke sidang Parlimen," tegas Siti Zuhro lagi.
Menurut beliau juga, prosedur dan polisi yang jelas berkenaan hukuman penalti ke atas anggota DPR yang memiliki masalah disiplin akan menyebabkan kesemua wakil rakyat akan berfikir dua kali untuk ponteng sidang Parlimen. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130523/lu_02/Penalti-untuk-wakil-rakyat#ixzz2U4FRbQbW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment